DATU Majang Renggi
BINTULU: Kerajaan Sarawak kini komited dalam menaik taraf pelabuhan yang ada di negeri ini untuk menampung keperluan kapasiti tinggi pada masa kini dan akan datang.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datu Majang Renggi berkata, lima pelabuhan sedia ada setakat ini dilihat tidak dapat menampung kapasiti yang disasarkan meningkatkan setiap tahun.
Lebih-lebih lagi, tambahnya, kerajaan negeri ketika ini sedang rancak melaksanakan projek-projek pembangunan untuk industri pelabuhan.
“Apa yang kita lihat, lima pelabuhan di Sarawak belum tentu dapat menampung hasil enam hingga lapan peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) tiap-tiap tahun.
“Disebabkan itu, kita membuat ‘state masterplan’ berkenaan pelabuhan kita, iaitu cara menaik taraf kesemua lima pelabuhan di sini termasuk Pelabuhan Samalaju,” katanya pada Majlis Penangguhan Kejohanan Petanque Piala Datu Majang 2022 di Rumah Endawie Maga di sini, semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju memaklumkan bahawa kerajaan mungkin mempertimbang untuk mewujudkan pelabuhan sekiranya diperlukan dalam perancangan tersebut.
“Sekiranya kita melihat ia diperlukan, mungkin kita akan membuat satu lagi pelabuhan baharu di kawasan Samalaju.
“Kerajaan juga sedang meneliti sama ada ia perlu dibina juga di Lawas. Sekarang kita masih meneliti perkara ini kerana masih belum ada pelabuhan di kawasan sana untuk menampung pembangunan-pembangunan yang bakal dilaksanakan,” ujarnya.