BAYERAN Munich menghadapi salah satu rintangan terakhir dalam memburu gelaran Bundesliga Jerman kelapan berturut-turut hujung minggu ini ketika pemain di Jerman memikirkan untuk mengadakan tunjuk perasaan bersama berikutan kematian George Floyd di Amerika Syarikat.
FA Jerman semalam berkata, pemain bola sepak termasuk Jadon Sancho yang memberikan penghormatan kepada Floyd semasa perlawanan hujung minggu lalu tidak akan dihukum dengan seruan sejak itu berkembang daripada beberapa pemain Bayern untuk tindakan selanjutnya.
“Sukan selalu begitu dan dapat berkongsi kekuatan untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kita adalah komuniti dan kuat bersama,” kata penyerang Bayern, Thomas Mueller menjelang perlawanan esok dengan menentang Bayer Leverkusen.
“Kami memiliki begitu banyak orang yang berbeza dalam sukan ini, tidak peduli warnanya. Sukan mempunyai kekuatan untuk menyatukan orang untuk berbicara dengan satu lidah,”jelasnya.
Joshua Kimmich mendedahkan pemain Bayern telah berbincang mengenai penggunaan platform mereka untuk mengecam sikap perkauman, sementara pemenang Piala Dunia, Jerome Boateng menggesa lebih banyak ahli sukan kulit putih terkenal untuk menambahkan suara mereka dalam kemarahan atas kematian Floyd.
“Suara kami membawa makna, kami memiliki platform dan menyentuh banyak orang,” kata Boateng, yang ayahnya berasal dari Ghana kepada radio Deutsche Welle.
“Semua ahli sukan kulit putih yang tidak bersuara jelas sekali tidak bersikap perkauman tetapi tentu sahaja wajar mereka juga menggunakan suara untuk tujuan ini. Ramai yang melakukannya tetapi saya rasa kita boleh melakukan lebih banyak lagi, “ tegasnya lagi.
Berbaki lima perlawanan, Bayern unggul tujuh mata di hadapan Borussia Dortmund yang mana pemainnya berlutut semasa sesi latihan untuk menyokong pergerakan ‘Black Lives Matter’.
Di kelompok terbawah liga, Werder Bremen terus dilanda masalah penyingkiran setelah tewas 3-0 kepada Eintracht Frankfurt pada Khamis sekali gus menyulitkan tugas mengekalkan status sebagai pasukan Bundesliga.
Kekalahan itu lebih mengecewakan buat juara empat kali itu setelah kemenangan 1-0 di Freiburg pada 23 Mei memberi mereka harapan. Werder kini tiga mata di bawah zon selamat dan memerlukan keputusan positif di tempat sendiri menentang Wolfsburg esok.
“Itu adalah tamparan tetapi jelas bukan sistem kalah mati,” kata jurulatih Werder, Florian Kohfeldt setelah kekalahan kepada Eintracht. “Ini menjadi lebih sulit tetapi tidak mustahil. Kita semua tahu bahawa ia akan menjadi sukar, tetapi kita akan mencubanya,” tambahnya lagi.
Penyerang Borussia Moenchengladbach, Marcus Thuram telah menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan terakhir sejak Bundesliga kembali bulan lalu untuk mencapai angka dua angka dalam musim debutnya di Jerman.
Thuram, anak kepada pemenang Piala Dunia 1998 dan aktivis anti perkauman Lilian, membuat kenyataannya sendiri dalam kemenangan 4-1 Ahad lalu ke atas Union Berlin, berlutut dan menundukkan kepalanya setelah menjaringkan gol pertama daripada dua golnya dengan isyarat mengingatkan bantahan masa lalu oleh pemain NFL di AS terhadap perkauman dan kekejaman polis.
Gladbach kembali beraksi di Freiburg ketika mereka bersaing dengan RB Leipzig dan Leverkusen untuk kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA. – AFP
BUNDESLIGA JERMAN