Bola keranjang medan bentuk disiplin, semangat berpasukan generasi muda

Facebook
WhatsApp
PENGHULU Huang Tiong Kang bergambar bersama Persatuan Bola Keranjang Bahagian Sarikei. Foto Pusat Khidmat Repok

SARIKEI: Sukan bola keranjang bukan sekadar medan mengejar kemenangan, sebaliknya mampu menjadi platform untuk membentuk disiplin, semangat berpasukan dan rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata pembangunan golongan muda sentiasa menjadi antara perkara yang diberi perhatian oleh beliau.

“Saya sentiasa percaya bahawa sukan bukan sekadar satu aktiviti pertandingan, malah merupakan medan terbaik untuk memupuk disiplin, semangat berpasukan dan rasa tanggungjawab.

“Melalui sukan bola keranjang, anak-anak belajar bekerjasama sebagai satu pasukan, menghormati pihak lawan, berjuang hingga ke penghujung serta mempelajari erti disiplin diri dan tanggungjawab,” katanya.

Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Penghulu Huang Tiong Kang selaku wakilnya pada majlis penyerahan bendera kepada Persatuan Bola Keranjang Bahagian Sarikei, baru-baru ini.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada setiap pemain dan barisan kejurulatihan yang terpilih untuk mewakili Sarikei selepas menjalani latihan dan persiapan bagi menghadapi pertandingan.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada setiap pemain dan barisan kejurulatihan yang bakal mewakili Sarikei.

“Tahniah kerana selepas melalui latihan yang panjang dan mencabar serta dengan keyakinan yang teguh, anda semua berjaya terpilih.

“Saya berharap anda semua dapat memberikan yang terbaik di gelanggang, bersatu sebagai satu pasukan serta memperlihatkan disiplin dan semangat juang pada tahap tertinggi,” katanya.

Tambahnya, nilai sebenar penyertaan dalam pertandingan tidak seharusnya diukur berdasarkan pingat atau keputusan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembentukan sahsiah sepanjang proses persediaan.

“Saya percaya bahawa kemuliaan sebenar bukan hanya terletak pada pingat itu sendiri, tetapi pada ketabahan, semangat berpasukan dan rasa tanggungjawab yang dibentuk sepanjang proses persediaan.

“Inilah hasil paling berharga yang akan dibawa bersama sepanjang perjalanan sebagai sebuah pasukan,” katanya.

Katanya, usaha mengembangkan sukan bola keranjang di daerah ini turut penting bagi memberi peluang kepada kanak-kanak dan golongan muda mengenali serta meminati sukan tersebut sejak usia awal.

Sehubungan itu, beliau akan terus menggalakkan usaha menyediakan kemudahan dan ruang yang dapat menyokong perkembangan sukan berkenaan di sekolah serta komuniti setempat.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya secara aktif menggalakkan pembinaan gelanggang bola keranjang di sekolah dan komuniti di Sarikei.

“Saya berharap anak-anak di sini dapat mengenali dan meminati sukan ini sejak kecil. Pada masa sama, saya berharap setiap keluarga dapat kembali memupuk semangat untuk saling memberi perhatian dan sokongan menerusi pertandingan yang disertai anak-anak mereka,” katanya lagi.

Dalam usaha menyokong perkembangan sukan bola keranjang, beliau turut mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada Persatuan Bola Keranjang Bahagian Sarikei.

“Saya dengan ini mengumumkan peruntukan RM10,000 dan berharap sumbangan ini dapat membantu anda semua terus mengembangkan sukan bola keranjang serta menyediakan pentas kepada lebih ramai individu yang meminati sukan ini untuk menyerlahkan bakat mereka,” katanya.

Sumbangan tersebut diharap dapat membantu persatuan meneruskan program pembangunan bola keranjang, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk berkembang dan diketengahkan.

Oleh Earl Anek