BINTULU: Golongan belia di Bintulu perlu diberikan lebih banyak pendedahan kepada sukan memanah bagi menggalakkan penyertaan serta mencungkil bakat baharu dalam sukan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, memanah merupakan antara sukan yang mempunyai peluang untuk dikembangkan kerana dipertandingkan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Menurutnya, lebih ramai belia perlu mengambil peluang untuk menjalani latihan secara serius bagi meningkatkan kemahiran dalam sukan berkenaan.
“Ini penting kerana memanah merupakan antara acara yang dipertandingkan dalam mana-mana temasya sukan antarabangsa.
“Sebagai contoh, memanah dipertandingkan dalam Sukan Olimpik dan Sukma, jadi sukan ini sangat penting.
“Sebab itu saya menggesa semua belia Bintulu tampil untuk berlatih dalam sukan memanah,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pembukaan Pertandingan Indoor 10m Recurve Archery di Yume Great Sports di sini, hari ini.
Johnny Pang berkata, kemudahan dan peralatan yang tersedia di pusat berkenaan memberi peluang kepada golongan belia untuk mendapatkan latihan serta bimbingan dalam sukan memanah.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan belia Bintulu menyertai latihan memanah, terutama ketika keadaan berjerebu yang mengehadkan aktiviti sukan di luar.
Ujarnya, aktiviti sukan secara dalaman dapat menjadi pilihan kepada masyarakat untuk kekal aktif dalam keadaan cuaca yang kurang sesuai.
Oleh Carolyne Utih





