KUCHING: Pengambilan 1,500 guru baharu di Sarawak oleh kerajaan mendapat respons positif daripada Pengerusi Persekutuan Lembaga Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Dato Jonathan Chai Voon Tok.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa langkah ini tidak akan sepenuhnya menyelesaikan isu kekurangan guru yang telah lama dihadapi oleh negeri ini.
Katanya, pengambilan ini memberikan kelegaan kepada banyak sekolah di kawasan luar bandar yang telah lama menunggu kekosongan jawatan diisi.
Namun, kekurangan guru memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan bersepadu untuk ditangani dengan efektif.
“Perlu ada koordinasi yang lebih baik antara agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), institut latihan perguruan, dan Kementerian Pendidikan. Mereka seharusnya mempunyai statistik lengkap tentang keperluan guru di seluruh negara dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menggesa agar Putrajaya menunjukkan komitmen yang lebih tinggi dalam menyelesaikan masalah ini dengan mengambil kira kepentingan pendidikan sebagai asas pembangunan negara.
Dalam pada itu, Jonathan menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk mempercepatkan penyerahan autonomi dalam bidang pendidikan di Sarawak.
“Dengan autonomi, kita boleh merangka pelan pembangunan pendidikan sendiri dan menentukan hala tuju generasi masa depan dengan tangan kita sendiri,” tambahnya.
Semalam, Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak (JPNS), Omar Mahli berkata, Lebih 1,500 guru baharu di Sarawak yang berjaya dalam proses temu duga akan memulakan tugas di seluruh negeri menjelang pertengahan Januari 2025.
Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah menyelesaikan proses temu duga dan keputusan telah diberikan kepada calon yang berjaya.
“Calon telah menerima keputusan masing-masing dan kini Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyelaraskan penempatan melalui sistem e-graduan.
“Saya dimaklumkan bahawa penempatan akan selesai dan mereka dijangka memulakan tugas di seluruh Sarawak pada pertengahan Januari,” kata Omar