Tujuh motosikal disita dalam Ops Samseng Jalanan di Miri

Facebook
WhatsApp
PERIKSA....Polis menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa pengguna jalan raya dalam Operasi Samseng Jalanan di Miri, malam tadi.

MIRI: Tujuh motosikal disita polis kerana melakukan pelbagai kesalahan trafik dalam Operasi Samseng Jalanan yang turut menyaksikan 55 saman dikeluarkan di sekitar bandar raya ini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu bermula 11.00 malam, 19 September hingga 3.30 pagi tadi.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan bagi mencegah aktiviti samseng jalanan yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas, selain mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam.

“Operasi tertumpu di beberapa lokasi termasuk kawasan Bandar Miri, Jalan Miri Bypass, Jalan Marina, Jalan Canada Hill, Jalan Piasau, Jalan Pujut, Jalan Tudan, Jalan Tanjung Lobang, Jalan Taman Tunku dan Jalan Taman Jelita.

“Seramai 24 lelaki dan tiga wanita diperiksa membabitkan 20 motosikal sepanjang operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati tujuh motosikal disita mengikut Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, sebanyak 55 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik yang dikesan sepanjang operasi.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk menunggang tanpa lesen memandu, pengubahsuaian struktur motosikal dan pengubahsuaian ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising.

POLIS menjalankan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan di sekitar bandar raya Miri.

“Turut dikesan kesalahan tidak mempunyai cermin sisi, tiada nombor pendaftaran, penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’ serta pelbagai kesalahan teknikal lain,” katanya.

Mohd Farhan berkata, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi spesifikasi ditetapkan.

Katanya, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan pengubahsuaian yang menyalahi spesifikasi asal kenderaan serta mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan boleh disalurkan kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling