SIBU: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan di Kilometer 5, Jalan Salim, di sini awal pagi tadi.
Mangsa yang berusia 44 tahun maut selepas tersepit di dalam kenderaan terbabit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.25 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati terdapat empat mangsa lelaki dewasa terbabit dalam kemalangan berkenaan.
“Seorang mangsa tersepit di dalam kenderaan, manakala tiga lagi mangsa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dari kenderaan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Tiga mangsa yang cedera berusia 33,28 dan 39 tahun dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut menggunakan dua kenderaan EMRS dan sebuah ambulans pertugas KKM,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada 3.58 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat dan terkawal. Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi kejadian.
Oleh Akun Giman





