BEIJING: Kemunculan pelakon maya berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang meraih ratusan ribu pengikut dan mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial China menimbulkan persoalan mengenai masa depan pelakon manusia dalam industri hiburan.
Berbeza dengan selebriti konvensional, bintang yang semakin mendapat perhatian itu dihasilkan sepenuhnya menerusi teknologi AI.
Fang Taozi, watak yang dijana AI dan membintangi siri drama pendek popular The Girl Who Was Fired, turut memuat naik vlog kehidupan seharian, membuka akaun media sosial, berkongsi rutin sarapan dan senaman serta haiwan peliharaannya.
Watak berkenaan juga menerima tawaran kerjasama dengan jenama dan mempunyai kelompok peminat sendiri.
Sejak drama itu mula disiarkan menerusi platform video pendek Douyin pada 12 Jun, ia telah meraih 200 juta tontonan, manakala akaun Douyin Fang mempunyai lebih 400,000 pengikut.
Peminat berinteraksi dengannya seolah-olah beliau seorang selebriti sebenar, termasuk menghasilkan suntingan video, membincangkan hubungan fiksyennya serta membina komuniti berdasarkan kehidupan yang direka untuk watak berkenaan.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan yang semakin penting dalam industri hiburan, iaitu sama ada Fang Taozi boleh dianggap sebagai sebahagian daripada generasi pertama selebriti AI.

Penyelidik budaya dan Profesor Madya Universiti Normal Nanjing, Zhang Peng, berkata jawapannya bergantung pada takrifan “selebriti”.
Beliau berkata jika status selebriti diukur berdasarkan perhatian awam, hubungan emosi dan nilai komersial, Fang dilihat memenuhi banyak kriteria berkenaan kerana mempunyai peminat, jenama peribadi dan peluang pengiklanan.
“Sama ada AI benar-benar mampu menjadi bintang bergantung bukan pada teknologi itu sendiri, tetapi keupayaannya membina hubungan emosi yang tulen dengan penonton dan mengekalkan daya tarikan dalam tempoh yang panjang,” katanya dalam satu temu bual.
Bagaimanapun, pengkritik budaya yang berpangkalan di Beijing, Shi Wenxue, berpendapat bintang AI sememangnya telah muncul, namun fenomena itu wajar dilihat sebagai sebahagian daripada perkembangan lebih luas ikon maya.
Daripada kumpulan muzik maya Alvin and the Chipmunks dari Amerika Syarikat yang muncul pada 1958 kepada Hatsune Miku, Luo Tianyi dan manusia digital hiperrealistik Liu Yexi, penghibur maya telah wujud dalam pelbagai bentuk sejak beberapa dekad lalu.
Dari segi penciptaannya, Fang Taozi mencerminkan kemajuan teknologi, manakala kemunculannya turut didorong keadaan ekonomi semasa industri filem dan televisyen.
Kebangkitan penghibur AI bagaimanapun menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelakon manusia, khususnya mereka yang terbabit dalam produksi berskala kecil.
Pelakon manusia membawa pengalaman peribadi, tafsiran emosi dan unsur ketidakpastian yang masih sukar ditiru. Namun, bagi industri yang memerlukan kandungan dalam jumlah besar pada kos yang lebih rendah, watak AI menawarkan kelebihan kerana tidak mengalami proses penuaan, boleh berfungsi secara berterusan dan boleh disesuaikan mengikut keperluan kumpulan penonton tertentu.

Zhang berkata drama pendek AI lebih murah dan pantas dihasilkan serta tidak berdepan risiko yang berkaitan dengan pelakon manusia, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan pekerjaan dalam bidang hiburan seperti drama pendek, pengiklanan, lakonan latar dan kerja suara.
Menurut Shi, di sebalik perdebatan itu wujud pertentangan antara kecekapan teknologi dengan ancaman penggantian pekerja manusia.
“Persoalannya bukan sama ada AI akan menggantikan pelakon sepenuhnya, tetapi bahagian dalam bidang lakonan dan hiburan yang boleh diautomatikkan,” katanya.
Platform China dilihat bukan sekadar menampilkan watak AI sebagai imej digital, malah membangunkan ekosistem hiburan lengkap di sekeliling watak berkenaan, termasuk drama, akaun media sosial, interaksi peminat dan kerjasama komersial.
Zhang berkata bintang AI di China berkembang daripada keinginan penonton untuk mendapatkan teman secara emosi, manakala eksperimen AI di Hollywood pula banyak dipengaruhi persaingan industri berkaitan kecekapan dan kos.
Shi berkata populariti mendadak Fang Taozi dalam banyak aspek mencerminkan psikologi penonton yang semakin bosan dengan kandungan berformula, layanan khas yang dirancang untuk peminat, persembahan yang boleh dijangka serta persona selebriti yang mudah terjejas.
Menurutnya, idola seperti Fang Taozi menawarkan alternatif kerana tidak boleh terlibat dalam skandal, bersikap seperti diva atau tersasar daripada watak, manakala personanya boleh diubah suai mengikut kehendak penonton.
Namun, model berkenaan turut mempunyai risiko, khususnya dari segi keterbatasan penciptanya serta potensi pengkomersialan secara berlebihan. – AGENSI




