API MARAK… Anggota bomba melakukan operasi memadamkan kebakaran hutan di Louchats, barat daya Perancis. • Foto AFP
PARIS: Perancis berada dalam keadaan berjaga-jaga semalam ketika kemuncak gelombang haba melanda negara itu, manakala kebakaran hutan yang marak di bahagian barat daya Eropah tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Peramal meletakkan 15 jabatan Perancis dalam keadaan berjaga-jaga tertinggi untuk suhu melampau kerana negara jiran Britain bersedia untuk mencatat rekod haba baharu minggu ini.
Gelombang haba adalah yang kedua melanda bahagian barat daya Eropah dalam beberapa minggu dan api yang membakar di Perancis, Greece, Portugal dan Sepanyol memusnahkan ribuan hektar tanah dan memaksa ribuan penduduk dan pelancong melarikan diri.
Para saintis menyalahkan perubahan iklim dan meramalkan episod cuaca ekstrem yang lebih kerap dan sengit seperti gelombang panas dan kemarau.
Menurut peramal, Olivier Proust, suhu di hutan Landes Perancis yang terletak di wilayah barat daya Aquitaine dijangka melebihi 42 darjah celsius pada Isnin (semalam).
“Sementara itu, gelombang haba boleh mencatatkan suhu setinggi 40 darjah celsius di Brittany sekali gus menjadi rekod untuk wilayah itu,” kata pakar.
Di wilayah Gironde barat daya, anggota bomba pada hujung minggu lalu terus berjuang untuk mengawal kebakaran hutan yang ‘memakan’ hampir 11,000 hektar (27,000 ekar) sejak Selasa minggu lalu.
Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Sepanyol melaporkan sekitar 20 kebakaran hutan masih marak di luar kawalan di bahagian berlainan negara dari selatan ke Galicia yang mana kebakaran itu memusnahkan sekitar 4,500 hektar tanah.
Kebakaran itu turut mengorbankan beberapa orang awam dan anggota kecemasan sejak minggu lalu dan terbaharu melibatkanseorang anggota bomba yang meninggal dunia pada Ahad lalu ketika memadamkan kebakaran di barat laut Sepanyol.
Ribuan penduduk dipindahkan
Kebakaran hutan di Perancis memaksa lebih 16,000 penduduk dan pelancong dipindahkan. Tujuh pusat perlindungan kecemasan disediakan untuk mangsa yang dipindahkan.
Kementerian Dalam Negeri Perancis mengumumkan akan menghantar tambahan tiga pesawat pemadam kebakaran, 200 anggota bomba dan lebih banyak trak.
“Di beberapa kawasan barat daya, ia akan menjadi malapetaka haba,” kata Ahli Meteorologi, Francois Gourand.
Gereja kecil, sebuah hospital bersejarah di tenggara bandar Lyon, Grand Hotel Dieu, menawarkan perlindungan kepada pelancong pada Ahad lalu termasuk Jean-Marc, 51, yang berkunjung dari Alsace.
“Kami kembali untuk mengagumi tempat itu, tetapi kami tidak boleh pergi, di luar terlalu panas,” ujarnya.
Pelumba basikal Perancis, Mikael Cherel, mengambil bahagian dalam peringkat ke-15 Tour de France antara Rodez dan Carcassonne di selatan Perancis pada Ahad lalu menggambarkan keadaan yang sangat sukar.
Bahaya di UK
Di Sepanyol, anggota bomba berjaya menstabilkan kebakaran hutan yang memusnahkan 2,000 hektar hutan dan semak di wilayah selatan Andalusia, kata Pemimpin Wilayah, Juan Manuel Moreno.
Kebakaran bermula pada Jumaat lalu di banjaran gunung Mijas di pedalaman dari bandar pantai selatan Malaga dan ia mendorong pemindahan kira-kira 3,000 orang.
Kira-kira 2,000 orang pulang ke rumah dan kini api berjaya dikawal, Moreno berkata, baki mangsa yang dipindahkan mungkin melakukan perkara yang sama.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez dijangka melawat wilayah timur Extremadura yang dilanda kebakaran teruk pada Isnin lalu yang mana beberapa kebakaran marak selama beberapa hari.
Di Portugal, hampir seluruh negara kekal dalam keadaan berjaga-jaga terhadap kebakaran hutan walaupun suhu turun sedikit, selepas mencecah 47 darjah celsius, rekod tertinggi pada Julai ini.
Hanya satu kebakaran besar yang marak pada Ahad lalu di bahagian utara yang telah membunuh dua orang, mencederakan 60 orang dan memusnahkan antara 12,000 dan 15,000 hektar tanah di Portugal.
Di United Kingdom, pejabat cuaca mengeluarkan ‘amaran merah’ buat pertama kalinya untuk kepanasan melampau, memberi amaran terdapat risiko berbahaya kepada kehidupan.
Pejabat Met berkata, suhu di selatan England boleh melebihi 40 darjah celsius pada Isnin atau Selasa buat kali pertama, menyebabkan beberapa sekolah akan ditutup pada minggu ini
Suhu dijangka mencapai 38 darjah celsius di beberapa bahagian di Belanda pada hari ini (Selasa). -AFP