ISTANBUL: Semua syarikat penerbangan komersial Iran akan menghentikan operasi di seluruh dunia mulai esok, kata Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent, semalam, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Esok, semua syarikat penerbangan Iran akan menghentikan operasi di seluruh dunia,” kata Bessent kepada rangkaian televisyen AS, CNBC, ketika menjelaskan sekatan sekunder secara meluas yang bertujuan mengasingkan rangkaian penerbangan awam Tehran.
Bessent menjelaskan bahawa hab antarabangsa yang memberikan perkhidmatan kepada pesawat Iran akan berdepan sekatan sepenuhnya daripada sistem perbankan AS.
Beliau memberi amaran bahawa pengendali asing tidak boleh mengisi minyak pesawat, menyediakan kemudahan pendaratan atau menjual tiket penumpang tanpa mengambil risiko kehilangan akses kepada urus niaga dalam dolar AS.
Pegawai Iran tidak segera mengeluarkan kenyataan awam berhubung sekatan penerbangan yang dirancang itu.
Sekatan terhadap sektor penerbangan itu berlaku ketika Washington meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Tehran menerusi Operation Economic Fury, susulan perang Iran yang kini memasuki bulan ketujuh.
Perang itu bermula pada akhir Februari selepas serangan bersepadu oleh AS dan Israel yang mencetuskan gangguan maritim di Selat Hormuz, pertukaran serangan peluru berpandu yang berterusan di rantau itu serta tekanan yang semakin meningkat terhadap saluran komersial dan kewangan Iran. – Bernama





