LONDON: Penerbangan di seluruh United Kingdom (UK) terganggu pada Isnin akibat masalah teknikal, menandakan kali kedua bulan ini penumpang terjejas akibat masalah kawalan trafik udara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Penerbangan di Scotland, Ireland Utara dan utara England terganggu akibat satu lagi ‘masalah teknikal’ melibatkan kawalan trafik udara selepas masalah sama awal bulan ini menyebabkan ribuan penerbangan di seluruh negara dibatalkan.
National Air Traffic Services (NATS), penyedia perkhidmatan kawalan trafik udara Britain, memaklumkan pihaknya mengalami masalah teknikal di pusat operasinya di Prestwick, Scotland.
“Masalah itu kini telah diselesaikan dan kami bekerjasama rapat dengan lapangan terbang serta syarikat penerbangan untuk menarik balik baki sekatan trafik udara dengan selamat secepat mungkin bagi meminimumkan sebarang gangguan selanjutnya,” menurut NATS menerusi hantaran di X.
NATS memaklumkan masalah itu membabitkan “isu ketersambungan” dengan sebahagian daripada rangkaian sistem penyedia berkenaan, khusus untuk operasi di Scotland.
“Ini langsung tidak berkaitan dengan masalah yang kami alami awal bulan ini,” menurut NATS.
Pada 8 hingga 9 September, ribuan penerbangan di seluruh negara dibatalkan susulan apa yang disifatkan sebagai “masalah teknikal”.
Financial Times kemudian melaporkan masalah itu berpunca daripada sebuah pesawat tentera yang memasukkan data penerbangan “palsu” ke dalam sistem. – Bernama





