LONDON: Google didenda lebih €400 juta (A$459 juta) kerana melanggar Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR), lapor PA Media/dpa.
Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland (DPC) melancarkan siasatan terhadap Google Ireland enam tahun lalu susulan aduan daripada beberapa organisasi hak pengguna Eropah berhubung pemprosesan data lokasi oleh syarikat teknologi itu.
DPC meneliti aspek kesahan dan keadilan dalam pemprosesan data lokasi oleh Google serta pematuhan tanggungjawab akauntabilitinya di bawah GDPR.
Siasatan itu mendapati pengguna Google mungkin tidak menyedari bahawa data lokasi mereka digunakan untuk mempengaruhi mereka menerusi iklan atau membuat kesimpulan mengenai minat mereka.
Siasatan itu meliputi ‘aktiviti laman sesawang dan aplikasi’, ‘sejarah lokasi’ dan ‘ketepatan lokasi’ antara 25 Mei 2018 hingga 4 Februari 2020.
DPC mengenakan denda pentadbiran berjumlah €403 juta dan mengarahkan Google memastikan pemprosesan datanya mematuhi peraturan dalam tempoh enam bulan.
Ia merupakan denda keempat terbesar yang dikenakan oleh DPC sejak GDPR berkuat kuasa.
Timbalan Pesuruhjaya DPC Graham Doyle berkata: “Data lokasi ialah sejenis data peribadi yang diproses melalui penjejakan lokasi, termasuk data yang dikumpul atau diproses oleh Google, yang dengan sendirinya atau apabila digabungkan dengan maklumat lain boleh digunakan untuk menentukan lokasi seseorang.”
“Data lokasi boleh membawa manfaat dan juga kemudaratan kepada individu.”
“Ia boleh meningkatkan fungsi perkhidmatan dalam talian dengan ketara, tetapi pada masa sama boleh mendedahkan sejumlah besar maklumat mengenai seseorang, termasuk maklumat yang sememangnya bersifat peribadi.”
Beliau berkata “GDPR menyediakan tahap perlindungan data peribadi yang tinggi di seluruh Kawasan Ekonomi Eropah (EEA), dan menetapkan bahawa pemprosesan data peribadi dilakukan secara sah, adil dan telus.”
“Akibat kegagalan Google dalam hal ini, individu mungkin tidak menyedari bahawa lokasi mereka digunakan, sebagai contoh, untuk mempengaruhi mereka melalui iklan atau membuat kesimpulan mengenai minat mereka dan mereka boleh kehilangan kawalan terhadap data peribadi sendiri.
“Penyimpanan data lokasi pengguna lebih lama daripada yang diperlukan memburukkan lagi kehilangan kawalan itu.”
Jurucakap Google berkata: “Kes ini tertumpu kepada dasar terdahulu yang telah dikemas kini sejak itu.
“Sejak 2019, kami telah menambah baik amalan kami dengan ketara dan memperkenalkan pelbagai alat yang mantap bagi memudahkan pengurusan data lokasi.”
Antara perubahan yang diperkenalkan ialah membolehkan pengguna menetapkan akaun mereka untuk memadam data secara automatik setiap tiga, 18 atau 36 bulan. Google turut memperkenalkan tetapan yang membolehkan pengguna mematikan sepenuhnya iklan diperibadikan dan mengurus cara data lokasi mereka digunakan untuk tujuan pengiklanan.
Sementara itu, data ‘Timeline’ Google kini disimpan terus pada peranti pengguna.
Google juga berkata pihaknya tidak menyimpan lokasi tepat peranti dalam aktiviti ‘Web & Aplikasi’ pengguna ketika carian dibuat. Sebaliknya, Google hanya menyimpan ‘anggaran kawasan umum’.
Terdapat tiga lagi siasatan statutori berskala besar yang sedang dijalankan membabitkan Google dan kesemuanya kini berada pada peringkat lanjut. – Bernama




