
KUCHING: Jawatankuasa Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga media, khususnya ahli-ahlinya, atas komitmen berterusan dalam menjalankan amanah sebagai penyampai maklumat kepada masyarakat.
Menurut kenyataan KDJA sempena sambutan Hari Pekerja, setiap berita yang disiarkan, gambar yang dirakam serta laporan yang diterbitkan mencerminkan pengorbanan masa, tenaga dan dedikasi tinggi dalam kalangan pengamal media.
Katanya, wartawan, jurufoto, juruvideo, editor dan seluruh warga media memainkan peranan penting sebagai mata, telinga dan suara rakyat dalam memastikan maklumat yang tepat, sahih dan berintegriti dapat disampaikan kepada umum.
“Profesion ini bukan sekadar kerjaya, tetapi satu tanggungjawab besar dalam membentuk persepsi masyarakat serta merakam sejarah untuk generasi akan datang.
“Dalam apa jua keadaan, sama ada panas, hujan, siang atau malam, warga media terus berada di barisan hadapan demi melaksanakan tugas,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan tersebut, semangat profesionalisme, perpaduan dan integriti perlu terus diperkukuhkan sebagai tunjang dalam memastikan kredibiliti bidang kewartawanan terus terpelihara.
KDJA turut menggesa seluruh warga media agar terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan keikhlasan demi masyarakat serta negara.
“Selamat Hari Pekerja kepada semua warga media, khususnya keluarga besar KDJA.
“Bersama dalam berita, teguh dalam solidariti,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat