MENTERI Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengucapkan tahniah kepada penerjun negara, Pandelela Rinong yang memenangi pingat emas dalam 10 meter platform individu di Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA yang berlangsung di Jepun pada 5 Mei lalu.
“Dikesempatan ini saya mengucapkan syabas kepada Pandelela kerana berjaya mengharumkan nama negara Malaysia dipersada dunia dengan memenangi pingat emas pertama buat skuad negara kita pada tahun ini,” kata Datuk Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.
Menurutnya, pencapaian Pendelela begitu bermakna kepada negara kerana kejohanan dunia yang beliau sertai adalah yang terakhir buat atlet atlet dari seluruh negara yang memburu tempat ke temasya Olimpik Tokyo pada tahun ini.
“Pencapaian beliau (Pandelela) amatlah membanggakan kita semua kerana ia dianggap sebagai satu bonus untuk skuad kebangsaan kita dan ianya telah diguna untuk menilai prestasi atlet selepas hampir setahun tanpa beraksi di sebarang pertandingan,” ujarnya.
“Bagi pihak Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, saya menyeru kepada atlet atlet tempatan kita untuk mengandakan usaha mereka dalam berlatih dan menyiapkan diri untuk lebih bersedia dalam mengalas cabaran negara dipersada dunia terutama pertandingan peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Beliau menambah, pencapaian Pandelela juga membuktikan bahawa atlet Sarawak mampu bertanding dengan pesaing dari negara yang lebih maju dari segi kemajuan sains sukan, diet pemakanan dan teknologi sukan yang kini menjadi antara faktor penting dalam penyediaan atlet bertaraf antarabangsa.
Oleh NUR AIN OTSMAN