KUCHING: Lubok Antu mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi di Sarawak dengan bacaan 205, sekali gus berada pada tahap sangat tidak sihat setakat 8.00 pagi ini.
Menurut data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), lima kawasan mencatat bacaan pada tahap tidak sihat, manakala 13 kawasan berada pada tahap sederhana dan satu kawasan pada tahap baik.
Selain Lubok Antu, kawasan lain yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah Tebedu dengan 174, Serian (173), Sri Aman (172), Betong (154) dan Kuching (132).
Sementara itu, kawasan yang mencatat bacaan pada tahap sederhana ialah Samarahan dengan 98, Kanowit (97), Lundu (94), Sibu (83), Sarikei (75), Bintulu (75), Samalaju (73), Mukah (67), Miri (67), Kapit (62), Lawas (60), ILP Miri (59) dan Limbang (55).
Bario pula mencatat bacaan terendah dengan 40, iaitu pada tahap baik.
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan 301 hingga 400 berada pada tahap berbahaya.
Bacaan melebihi 400 pula dikategorikan sebagai sangat berbahaya.
Bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.





