


KABONG: Peruntukan keseluruhan berjumlah RM135.395 juta dibelanjakan bagi melaksanakan 30 buah projek pembangunan di Kampung Gerigat sejak 2016 hingga tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, peruntukan tersebut adalah melibatkan kelulusan projek daripada Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan juga Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Kita harus mengucapkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana telah meluluskan projek berimpak tinggi melalui RTP dan juga BDDA untuk tujuan pembangunan yang merangkumi pelbagai aspek di Kampung Gerigat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-22 Tahun 2025 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Gerigat di Balai Nelayan Kampung Gerigat, hari ini.
Seramai 167 ahli PNK Gerigat telah hadir ke mesyuarat ini bagi membincangkan hal ehwal berkaitan industri perikanan di kawasan ini, termasuk isu-isu yang melibatkan kesejahteraan nelayan, perancangan aktiviti persatuan, serta pembentangan laporan kewangan dan pencapaian sepanjang tahun.
Mengulas lanjut, kesemua projek RTP dan juga BDDA yang diluluskan tersebut membuktikan kerajaan Sarawak prihatin dengan keperluan masyarakat di kawasan luar bandar.
“Pelaksanaan program pembangunan RTP dan BDDA itu telah banyak membawa arus perubahan, kemajuan dan pembangunan ke kawasan luar bandar di seluruh Sarawak dan Bahagian Betong amnya.
“Pelan pembangunan ini telah memainkan peranan yang amat penting dalam usaha kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan bagi kawasan luar bandar dengan bandar,” tambahnya.
Pada majlis tersebut, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Sarawak (PENESA), Darmizan Daud menyampaikan sumbangan suku sen Projek Pembekalan Diesel Bersubsidi PENESA kepada PNK Gerigat berjumlah RM9,249.86.
OLEH ADI SAFARMAN