Lelaki maut selepas pacuan empat roda bertembung lori tangki minyak

Facebook
WhatsApp
KEMALANGAN MAUT...Kenderaan pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan dengan lori tangki minyak di Simpang Punda Simunjan, Jalan Simunjan, petang tadi. Foto PGO Bomba Sarawak

SIMUNJAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori tangki minyak dalam kemalangan jalan raya di Simpang Punda Simunjan, Jalan Simunjan, petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.45 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan digerakkan ke lokasi.

KEADAAN kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mangsa selepas terbabit dalam kemalangan dengan lori tangki minyak di Simpang Punda Simunjan, Jalan Simunjan, petang tadi. Foto PGO Bomba Sarawak

Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, PBK II Hipni Udai, tiba pada 5.45 petang dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan, iaitu sebuah pacuan empat roda dan sebuah lori tangki minyak.

Menurut PGO JBPM Sarawak, seorang mangsa masih berada di dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan ketika pasukan bomba tiba.

ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan pacuan empat roda selepas kemalangan di Simpang Punda Simunjan, Jalan Simunjan, petang tadi. Foto PGO Bomba Sarawak

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan menggunakan pengusung sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi dilaporkan terkawal pada 5.55 petang dan tamat sepenuhnya pada 6.00 petang selepas keadaan sekitar dipastikan selamat.

ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan berjaya mengeluarkan mangsa dari kenderaan pacuan empat roda selepas kemalangan di Simpang Punda Simunjan, Jalan Simunjan, petang tadi.

Operasi itu melibatkan tujuh anggota BBP Simunjan dengan bantuan sebuah jentera penyelamat dan pemadam kebakaran (FRT) serta sebuah kenderaan utiliti Hilux.

Pihak polis dan KKM turut berada di tempat kejadian bagi membantu pengurusan kejadian serta tindakan lanjut.

Oleh Adi Safarman