MULU: Projek Sistem Tagang di Sungai Dapur dilancarkan hari ini sebagai inisiatif pemuliharaan sumber perikanan air tawar secara lestari, selain berpotensi menjana pendapatan komuniti setempat.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Gerawat Gala.
Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran, berkata pemilihan Sungai Dapur dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik serta mempunyai lubuk ikan yang dalam.
“Keadaan berkenaan sesuai untuk pembiakan ikan dan membantu mengekalkan populasi akuatik secara semula jadi.
“Pelaksanaan Sistem Tagang itu turut selaras dengan SFC PCDS Project 2024 di bawah Fokus 35.1, iaitu Pelaksanaan Program Ekonomi Berasaskan Komuniti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, Sistem Tagang dijangka memberi manfaat kepada komuniti setempat menerusi peluang pembangunan aktiviti agropelancongan.
“Antara aktiviti yang boleh dibangunkan termasuk memancing, merentas hutan dan menyusur sungai bagi menarik kedatangan pelancong dari luar.
“Perkembangan aktiviti berkenaan juga berpotensi menjana pendapatan penduduk melalui perusahaan inap desa, perkhidmatan bot pelancong dan pemandu pelancong,” katanya.
Sistem Tagang merupakan inisiatif berasaskan komuniti bagi memulihara dan mengurus sumber perikanan air tawar secara lestari, di samping meningkatkan kesedaran penduduk mengenai kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem sungai.




