SIBU: “Segala bentuk mainan politik dalam pendidikan tidak harus diterima sama sekali,” tegas Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee.
Beliau tidak mahu soal pendidikan dicampur aduk dengan politik.
“Kita hendak memastikan bahawa pendidikan jangan dicampuradukkan dengan politik walaupun kita mempunyai idealogi politik berbeza,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2019 Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu di sebuah hotel di sini, hari ini.
Dr. Annuar yang juga Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam berkata, Kerajaan Sarawak menubuhkan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi pada 2017 bukannya kementerian untuk mengambil alih Kementerian Pendidikan di peringkat Persekutuan.
“Kita menyedari perlunya kementerian pendidikan ditubuhkan di Sarawak untuk membantu kekurangan di negeri ini,” ujarnya.
Katanya, Kerajaan Sarawak akan berusaha untuk memperbaiki segala kesusahan dan kekurangan yang berlaku di Negeri ini.
Pada majlis tersebut, seramai 372 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2019.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Ahli Chikba, Timbalan PPD Sektor Perancangan, Siti Mariam Abdul Rahman, Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Sibu, David Teo dan Pengerusi Majlis Guru Besar, Abang Khadari Abang Bolhassan.
Oleh Akun Giman