SEMOP: Pembinaan Jambatan Batang Paloh bukan hanya disifat sebagai satu sistem perhubungan, tetapi juga suatu manifestasi kesungguhan Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menentukan hala tuju negeri ini.
Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol berkata, pembinaan Jambatan Batang Paloh dengan kos hampir RM300 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri itu memberi makna besar kepada masyarakat di kawasan luar bandar khususnya di kawasan pesisir seperti Pulau Bruit.
“Jambatan ini akan menghubungkan kawasan Pulau Bruit ke Matu-Daro yang akan mempunyai Jambatan Batang Lassa, Sibu, Tanjung Manis dan kawasan pesisir yang lain.
“Oleh itu, jika kawasan luar bandar dapat dibangunkan dengan infrastruktur asas yang baik, banyak perkara boleh dilakukan dan banyak boleh disumbangkan ke arah kemajuan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada upacara Pecah Tanah Projek Jambatan Batang Paloh, Bahagian Mukah yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini semalam.
Di samping itu katanya, pembinaan jambatan itu juga akan memberi manfaat besar kepada masyarakat sekitar kerana akan menghubungkan terus ke kawasan industri di Tanjung Manis.
“Kerana itu saya memohon kepada Kerajaan Negeri supaya menjadikan wilayah ini termasuk Matu Daro, Pulau Bruit sehingga ke Tanjung Manis dijadikan sebagai pusat latihan utama untuk industri pinggiran seperti pusat latihan perkayuan, penyelenggaraan kapal, mesin, enjin dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau juga memberitahu sejak dua tahun lepas, Kerajaan Negeri memperuntukkan perbelanjaan yang besar, dengan sebanyak 70 peratus perbelanjaan belanjawan negeri diperuntukan untuk pembangunan dan 70 peratus adalah untuk perbelanjaan pembangunan luar bandar.
“Ini amat penting untuk diketahui oleh masyarakat di luar bandar bahawa Kerajaan Sarawak di bawah GPS sekarang ini, jiwa dan raganya tidak pernah lari untuk membangunkan kawasan pedalaman,” katanya.
Abdullah turut memohon peruntukan dari Abang Johari sebanyak RM7.2 juta untuk projek menurap jalan ladang dari simpang Sungai Nai ke Penuai sepanjang 10 kilometer.
Selain itu, beliau juga memohon peruntukan untuk Missing Link di jalan-jalan berturap utara Pulau Bruit sepanjang 1 kilometer (RM3.6 juta), peruntukan untuk rumah-rumah panjang dari simpang Sibu Tanjung Manis ke Mupong (RM3 juta) dan jalan dari Sedi ke Sebako (RM5.4 juta).
Oleh Nurzilla Mohamad