LAWAS: Ba’kelalan dan Lawas terputus hubungan berikutan kejadian tanah runtuh dan jambatan rosak di Jalan Beriwen Bakelalan tengah hari semalam.
Kerja baik pulih dilakukan hingga lewat malam tadi oleh pihak kontraktor pembinaan jalan Lebuhraya Sabah-Sarawak dan agensi bertanggungjawab.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Sum Agong memberi jaminan kerja baik pulih dilakukan segera demi memastikan rakyat di Ba’kelalan dapat menggunakan jalan itu untuk ke Lawas.
“Kita telah arahkan kerja baik pulih segera dilakukan untuk kemudahan rakyat dan petang semalam laluan berkenaan telah boleh digunakan, tetapi belum sempurna,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan jentera mobile GPS di sebuah hotel di Lawas hari ini.
Turut sama ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa dan ketua komponen jawatankuasa Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Lawas.
Henry Sum yang juga calon GPS Parlimen Lawas akan berangkat ke Ba’kelalan pada pagi esok menggunakan pesawat helikopter bersama Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan menyusuri jalan darat balik ke Lawas pada sebelah petang.
Hujan lebat berterusan petang semalam dan awal pagi di Lawas dan Ba’kelalan menyebabkan berlakunya beberapa kejadian tanah runtuh dan kerosakan jambatan.
Oleh ADENG EDRUS