BINTULU: Seramai 200 peserta menyertai program Gotong-Royong Sempena Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 Peringkat Bahagian Bintulu di Kampung Baru, di sini, hari ini.
Program anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu itu bertujuan membudayakan amalan kebersihan serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam menjaga kebersihan persekitaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, berkata usaha menjaga kebersihan tidak seharusnya bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan berterusan masyarakat.
Beliau berkata, program seperti gotong-royong turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara komuniti, agensi kerajaan dan pihak korporat melalui penglibatan secara langsung bersama masyarakat.
“Alhamdulillah, kita dapat melihat banyak perubahan dari segi masyarakat supaya menjaga kebersihan, jangan membuang sampah dan jangan buang dalam sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai program gotong-royong berkenaan di Kampung Baru, hari ini.
Menurutnya, kemudahan pengurusan sisa yang disediakan pihak berkuasa perlu dimanfaatkan oleh masyarakat dan tidak dijadikan alasan untuk membuang sampah ke sungai.
Iskandar turut menggalakkan lebih banyak pihak korporat menjalinkan kerjasama dengan komuniti menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya berkaitan kebersihan dan alam sekitar.
Katanya, penglibatan pihak korporat bersama komuniti dapat merapatkan hubungan antara kedua-dua pihak selain memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
Beliau turut memuji usaha komuniti Kampung Baru yang sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama dengan pihak korporat dalam inisiatif berkaitan kitar semula.
Sehubungan itu, Iskandar menggalakkan kerjasama seumpama itu diteruskan dan diperluaskan bagi melaksanakan lebih banyak inisiatif berkaitan kebersihan serta kitar semula di peringkat komuniti.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha menyokong pelaksanaan HCM 2026, selain menggalakkan amalan gotong-royong dan tanggungjawab bersama dalam kalangan komuniti setempat.
Oleh Faizah Muzidi





