NIAH: Penganjuran regata berpotensi menjadi antara tarikan pelancongan baharu dengan menggabungkan sukan, budaya, warisan dan ekonomi masyarakat setempat.
Maka, sukan dan pelancongan perlu bergerak seiring dalam usaha memelihara alam sekitar, khususnya kebersihan sungai yang menjadi lokasi utama penganjuran Regata Subis@Niah 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusuf berkata, sungai yang bersih dan sihat bukan sahaja penting untuk aktiviti sukan dan pelancongan, malah menjadi sumber rezeki masyarakat setempat.
Katanya, keunikan Niah yang mempunyai tapak warisan dunia UNESCO, selain keindahan sungai dan budaya masyarakat setempat, mampu menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Kemajuan sukan dan pelancongan perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan alam sekitar, khususnya memastikan sungai kekal bersih dan sihat,” berkatanya menerusi rakaman video ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Regata Subis@Niah 2026 di Tebingan Niah, Sepupok hari ini.
Tambahnya, Regata Subis @Niah 2026 turut menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat, selain mengetengahkan potensi Sungai Niah sebagai lokasi sukan dan tarikan pelancongan.
Datuk Amar Fadillah turut menyumbang RM50,000 bagi menyokong penganjuran regata berkenaan.
Pada majlis sama, Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus menyempurnakan simbolik perasmian dan pelepasan lumba perahu.
Oleh Adum Liu





