MITSA bantu pelajar SMK Bako perkukuh persediaan SPM

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy Shukri merasmikan program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian serta Pameran Akedamik UiTM Cawangan Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan Bako, hari ini.

KUCHING: Seramai 258 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima bimbingan akademik dan motivasi menerusi program anjuran Persatuan Alumni UiTM Sarawak (MITSA), hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, program berkenaan merupakan kesinambungan usaha MITSA dalam pembangunan modal insan dan khidmat masyarakat di seluruh Sarawak.

Katanya, program itu memberi tumpuan kepada persediaan akademik pelajar khususnya dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris, selain pendedahan mengenai peluang melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

DATO Sri Nancy Shukri ketika berucap pada program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian serta Pameran Akedamik UiTM Cawangan Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan Bako, hari ini.

“Jadi oleh sebab itu, kepada para pelajar sekalian, program hari ini bukan sahaja memberi motivasi, tetapi turut menyediakan bimbingan dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian Pelajar di SMK Bako, di sini, hari ini.

Menurutnya, keputusan peperiksaan percubaan pelajar turut menunjukkan peningkatan berbanding keputusan sebelumnya, sekali gus memperlihatkan potensi mereka untuk mencapai keputusan lebih baik dalam SPM.

Nancy berkata, selain bimbingan akademik, pelajar turut diberikan penerangan mengenai program pengajian yang ditawarkan UiTM serta syarat kemasukan bagi setiap bidang sebagai persediaan merancang hala tuju pendidikan selepas tamat persekolahan.

“Usaha ini membuktikan bahawa peranan alumni bukan sahaja untuk menjaga hubungan sesama ahli, tetapi juga untuk kembali menyumbangkan ilmu, pengalaman dan kepakaran kepada masyarakat,” katanya.

Dalam program itu, Nancy turut menyerahkan sumbangan kalkulator daripada MITSA kepada Pengetua SMK Bako, Mohd Firdaus Abdullah, untuk kegunaan pelajar yang memerlukan khususnya dalam menghadapi peperiksaan.

Menurutnya, program motivasi dan bimbingan seumpama itu telah dilaksanakan MITSA sejak 2005 di beberapa lokasi di Sarawak termasuk Bintulu, Mukah, Lawas, Simunjan, Serian dan Miri.