Program MEKAR JPN bantu Danny peroleh kad pengenalan 

Facebook
WhatsApp
DATUK Ding Koung Hiing bergambar bersama Danny Wong Yo Xiang dan kakitangan JPN. Foto Pusat Khidmat DUN Meradong

BINTANGOR: Kejayaan membantu Danny Wong Yo Xiang mendapatkan kad pengenalan menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuktikan pentingnya usaha mendekati individu yang memerlukan bantuan dalam menyelesaikan urusan dokumentasi dan pengenalan diri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, usaha tersebut amat bermakna kerana dokumen pengenalan diri penting dalam memudahkan pelbagai urusan rasmi dan keperluan Danny pada masa akan datang.

“Usaha ini merupakan satu inisiatif yang amat bermakna dalam membantu memastikan urusan dokumentasi dan pengenalan diri Adik Danny dapat diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.

Ding turut merakamkan penghargaan kepada Program MEKAR JPN atas keprihatinan, bantuan dan usaha yang diberikan sehingga urusan mendapatkan kad pengenalan berkenaan dapat diselesaikan.

Beliau juga menghargai komitmen pasukan Program MEKAR JPN yang diketuai Vanesea Henry Engga bersama kakitangan JPN yang terlibat dalam membantu menguruskan perkara tersebut.

“Saya berharap agar kad pengenalan yang telah diperoleh dapat memberi manfaat kepada Adik Danny serta memudahkan pelbagai urusan rasmi dan keperluan beliau pada masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, pendekatan seperti Program MEKAR JPN wajar terus diperkasakan bagi membolehkan bantuan berkaitan dokumentasi dan pendaftaran diri disampaikan kepada masyarakat yang memerlukannya.

“Kerjasama serta keprihatinan semua pihak penting bagi memastikan kebajikan dan hak masyarakat sentiasa diberikan perhatian,” katanya lagi.

Oleh Earl Anek