Empat projek utama Parlimen Sarikei diberi perhatian, tindakan susulan perlu dipercepat 

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Sri Huang Tiong Sii mempengerusikan mesyuarat berkaitan projek pembangunan di bawah Parlimen Sarikei, baru-baru ini. Foto Pusat Khidmat DUN Repok

SARIKEI: Empat projek utama di bawah Parlimen Sarikei diberi perhatian bagi memastikan sebarang isu atau kekangan dapat dikenal pasti lebih awal dan tindakan susulan ditetapkan supaya pelaksanaannya berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, projek tersebut merangkumi Jalan Janting ke Jalan Tulai, Pusat Kebudayaan dan Pelancongan Bahagian Sarikei, cadangan Waterfront Sarikei serta cadangan P-Turn di persimpangan Lebuh Raya Pan Borneo menuju ke Pekan Jakar.

“Mesyuarat ini penting untuk kita meneliti status beberapa projek utama tersebut di bawah Parlimen Sarikei.

“Saya berharap kita dapat mengenal pasti sebarang isu atau kekangan yang dihadapi dan menetapkan tindakan susulan yang jelas supaya projek-projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat berkaitan projek pembangunan di bawah Parlimen Sarikei anjuran Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dan Pejabat Residen Bahagian Sarikei, baru-baru ini.

TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii mempengerusikan mesyuarat berkaitan projek pembangunan di bawah Parlimen Sarikei, baru-baru ini. Foto Pusat Khidmat DUN Repok

Katanya, penelitian terhadap status setiap projek penting bagi membolehkan agensi berkaitan mengenal pasti perkara yang memerlukan tindakan lanjut dan menyelaras langkah seterusnya.

Huang turut memberi perhatian terhadap baki peruntukan RADDA di bawah Parlimen Sarikei dengan menekankan supaya dana yang masih tersedia disalurkan kepada projek yang benar-benar diperlukan masyarakat.

“Berhubung baki peruntukan RADDA di bawah Parlimen Sarikei, saya berharap peruntukan yang masih ada dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk projek yang benar-benar diperlukan dan memberi impak langsung kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan penyelarasan berterusan antara semua pihak yang terlibat bagi memastikan agenda pembangunan di kawasan Parlimen Sarikei dapat digerakkan dengan lebih berkesan.

“Saya juga berharap kerjasama erat antara RADDA, Pejabat Residen, Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Sarikei (MDS) dan semua agensi berkaitan dapat diteruskan demi mempercepatkan pembangunan di Parlimen Sarikei,” katanya lagi.

Oleh Earl Anek

Tanglung warnai malam, mengeratkan keluarga

MIRI: Cahaya tanglung berwarna-warni menceriakan Dataran Kipas di sini apabila orang ramai daripada pelbagai kaum berkumpul menikmati kemeriahan Festival Kuih