ELLIE EDWARD
BINTULU: Institut Kemahiran Mara IKM dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu telah dikenal pasti sebagai dua lagi pusat kuarantin merawat pesakit positif COVID-19.
Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, dua pusat berkenaan dalam sebagai langkah untuk menampung keperluan di Taman Negara Similajau sekiranya diperlukan nanti.
“Kita juga sedang mengenal pasti beberapa hotel yang berpatutan di daerah ini untuk dijadikan pusat kuarantin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri sesi taklimat COVID-19 peringkat Bintulu di Pejabat Residen Bintulu, semalam.
Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak termasuk Daerah Bintulu sudah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan terdapatnya pertambahan jumlah individu dijangkiti COVID-19 sehingga pertengahan April ini.
“Setakat ini lima individu di Bintulu disahkan positif COVID-19, manakala 12 lagi sedang di kuarantin di Pusat Kuarantin Taman Negara Similajau,” katanya.
Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berharap masyarakat memberikan kerjasama dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dikuatkuasakan.
Tambahnya, Bintulu juga antara kawasan yang diisytiharkan sebagai zon merah jangkitan virus COVID-19 dengan lima kes positif.
“Kita tidak tahu apa akan berlaku dalam masa dua minggu akan datang dan sekiranya kesemua mereka (PUI) disahkan postif COVID-19, maka kita sudah bersedia bagi merawat mereka di pusat kuarantin yang dikhaskan,” katanya.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah ADUN Samalaju Majang Renggi, ADUN Murum Kennedy Chuk Pai Ugon dan Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat.