KUCHING: BioVerde Technologies Sdn. Bhd. (BVT) melancarkan Kempen Harum Pertiwi yang berlangsung dari 22 Julai hingga 16 September ini bagi meraikan kekayaan biodiversiti Sarawak dan Malaysia menerusi penghasilan produk botani serta wangian berinspirasikan flora tempatan, khususnya orkid Phalaenopsis bellina atau lebih dikenali sebagai Orkid Normah.
Kempen berkenaan diadakan bersempena sambutan Hari Sarawak, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sebagai simbol penghargaan terhadap kepelbagaian warisan semula jadi negara, selain menyemarakkan semangat cintakan tanah air melalui produk bio berasaskan sumber alam tempatan.
Mengangkat tema Harum Pertiwi, kempen tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai nilai biodiversiti Malaysia, di samping memperkenalkan pelbagai produk inovatif yang dibangunkan berasaskan sumber semula jadi unik dari Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif BVT, Hazwan Razak berkata, Harum Pertiwi bukan sekadar meraikan kekayaan biodiversiti Sarawak, malah mengetengahkan inovasi tempatan yang berjaya menghasilkan produk bernilai tinggi berasaskan sumber alam semula jadi.
Beliau berkata, menerusi NatureSara® dan TikTok Shop, produk berasaskan biodiversiti yang dibangunkan di Sarawak kini lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia, sekali gus memperkenalkan keunikan warisan alam negeri ini kepada pasaran yang lebih luas.
“Sempena sambutan Hari Sarawak, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kami berharap inisiatif ini dapat meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap biodiversiti negara serta peranannya dalam memacu pembangunan bioekonomi Sarawak,” katanya.
Sepanjang tempoh kempen, orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai produk di bawah jenama NatureSara®, termasuk minyak pati, produk penjagaan diri, wangian kediaman serta set hadiah yang diinspirasikan daripada aroma dan tumbuhan Borneo.

Pelbagai promosi menarik, pakej eksklusif serta aktiviti khas turut disediakan sepanjang sambutan berlangsung.
Kempen itu turut menyaksikan satu lagi pencapaian penting apabila NatureSara® memperluaskan platform pemasarannya menerusi pelancaran kedai rasmi NatureSara by BVT di TikTok Shop.
Platform tersebut memudahkan pelanggan di seluruh negara mendapatkan produk berasaskan biodiversiti Sarawak selain menawarkan promosi eksklusif, sesi jualan secara langsung, demonstrasi produk dan perkongsian ilmu mengenai manfaat biodiversiti negeri ini.
Sebagai cabang komersial kepada Majlis Biodiversiti Sarawak yang diberi tanggungjawab membangunkan industri berasaskan bio negeri, BVT terus komited menterjemahkan hasil penyelidikan saintifik dan sumber semula jadi tempatan kepada produk bernilai tinggi yang memberi manfaat kepada pengguna, komuniti dan pembangunan bioekonomi.
Orang ramai juga digalakkan mengikuti akaun rasmi NatureSara by BVT di TikTok Shop serta saluran media sosial rasmi BVT bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kempen, promosi eksklusif, sesi siaran langsung dan pelancaran produk baharu sepanjang Kempen Harum Pertiwi berlangsung.





