PETRA JAYA, 19 Oktober: Laporan awal nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang yang mengorbankan lima individu telah diterbitkan, namun punca kejadian masih belum dapat dipastikan sementara siasatan lanjut diteruskan.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, laporan awal membabitkan helikopter milik Layang-Layang Aerospace, 9M-LLF, itu dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) pada 16 Oktober lalu.
Beliau berkata laporan berkenaan turut dibentangkan kepada Jemaah Menteri Persekutuan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia.
“Punca kemalangan masih belum ditentukan dan siasatan diteruskan menerusi pemeriksaan teknikal serta analisis bukti berkaitan kejadian,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut Lee, laporan akhir dijangka disiapkan dalam tempoh setahun dari tarikh nahas pada 8 September lalu.
Tragedi itu meragut nyawa juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, Pegawai Perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
Kesemua mereka terlibat dalam misi menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman dan terpencil yang berdepan cabaran mendapatkan akses kepada kemudahan perubatan.
Lee berkata kehilangan mereka merupakan satu tragedi yang amat menyedihkan, terutama kerana khidmat yang diberikan memainkan peranan penting dalam memastikan penduduk di kawasan sukar dihubungi mendapat rawatan kesihatan.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menyampaikan penghargaan kepada semua agensi penyelamat dan pihak berkaitan yang membantu dalam operasi susulan nahas berkenaan.
Katanya, hasil siasatan yang sedang dijalankan diharap dapat menjelaskan keadaan kejadian serta mengenal pasti faktor yang berkaitan sebelum penemuan lengkap dimuktamadkan menerusi laporan akhir.


