LUBOK ANTU, 19 Oktober: Prihatin terhadap kebajikan warga emas, Kedai Kopi Jit Lin dan HCafe tampil menghulurkan sumbangan keperluan harian kepada Rumah Titian Kaseh Warga Tua Islam Raudatul Jannah yang terletak di Kampung Melayu, Lubok Antu.
Sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh pemilik Kedai Kopi Jit Lin, Huang Mee Ling, bersama pemilik HCafe, Huang Huat Khai dalam satu kunjungan ke rumah kebajikan berkenaan, hari ini.
Menurut Huang, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihak mereka dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya warga emas yang menghuni pusat jagaan tersebut.
Beliau berkata, sumbangan keperluan harian yang disalurkan diharap dapat meringankan beban pengurusan rumah kebajikan serta membantu memenuhi keperluan penghuni dari semasa ke semasa.
“Walaupun sumbangan yang diberikan tidaklah seberapa, kami berharap ia dapat memberi manfaat kepada penghuni dan membantu pihak pengurusan menjalankan operasi harian dengan lebih lancar,” katanya.
Rumah Titian Kaseh Warga Tua Islam Raudatul Jannah kini beroperasi di bawah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan diuruskan oleh Wan Hazaimi Wan Azami yang komited dalam menjaga kebajikan warga emas di kawasan tersebut.
Sementara itu, pihak pengurusan rumah kebajikan berkenaan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jit Lin serta HCafe atas keprihatinan yang ditunjukkan.
Mereka berharap lebih banyak pihak tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan penghuni terus terpelihara.
Oleh Adi Safarman




