SIMANGGANG: Kerana gagal membayar sewa, keluarga Rocky Fam telah dihalau dari rumah dan terpaksa berteduh di pondok Taman Lalu Lintas Sri Aman dalam bandar ini.
Nasib malang yang menimpa keluarga terbabit telah tersebar melalui media sosial sebelum ia menarik perhatian pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sri Aman yang kemudiannya turun padang untuk menyiasat kes mereka.
Selain JKM, masalah yang menimpa keluarga terbabit juga turut menarik perhatian Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis yang turut melawat mereka, semalam.
“Rocky Fam telah diusir dari rumah sewa akibat gagal membayar sewa rumah. Ia berpunca daripada faktor kurang kemampuan kerana tidak mempunyai kerja tetap dan sering sakit.
“Lagi pun, beban menanggung kos keperluan harian lima orang anak termasuk yang bersekolah telah menambah lagi beban hingga menyebabkan keluarga Rocky tidak mampu membayar sewa rumah,” kata Harden.
Keluarga itu katanya, kini berteduh di pondok hujung Kampung Muhibbah Sri Aman dengan pihak JKM Sri Aman telah pun menaikkan bantuan kebajikan sebanyak RM500 sebulan berbanding RM300 sebelumnya untuk membantu mereka berkuat kuasa Disember ini.
“Saya juga turut menyalur bantuan awal dengan mengeluarkan bayaran deposit sewa rumah berjumlah RM450 dan sewa bulanan pertama berjumlah RM450 untuk membantu keluarga terbabit.
“Justeru, melalui bantuan ini, saya berharap agar keluarga Rocky Fam dapat merancang semula ekonomi dan keperluan dengan mencari pekerjaan untuk menyara hidup mereka.
“Saya juga mahu Rocky Fam bertindak memohon kad pengenalan untuk anak keduanya yang masih belum memiliki identiti pengenalan diri sehingga sekarang,” kata Harden.
Turut mengiringi Harden dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Kebajikan Bahagian Sri Aman, Sharifah Mordiah Syed Ali dan Hamilie Sahat dari Bahagian Penguatkuasa JKM Bahagian Sri Aman.
Oleh VALENTINE NGUMBANG