SHEILA ZAIDI
KUCHING : Pelbagai persoalan serta kekeliruan yang timbul dalam kalangan anggota masyarakat berkenaan jumlah individu yang dibenarkan berada dalam kenderaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Antara persoalan yang sering diajukan ialah adakah suami atau isteri dibenarkan untuk pergi bekerja bersama di dalam sebuah kenderaan dan adakah seorang individu dibenarkan untuk menghantar salah seorang ahli keluarga mereka yang tidak mempunyai lesen memandu ke tempat kerja.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, pada asasnya, hanya seorang yang dibenarkan tetapi atas tujuan bekerja dengan alasan yang munasabah, sekurang-kurangnya dua individu dibenarkan.
“Untuk kedua-dua soalan yang dikemukakan, ia adalah dibenarkan dengan syarat individu yang bekerja atau yang dihantar, mempunyai surat daripada majikan masing-masing.
“Antara syarat lain ialah, individu berkenaan juga perlulah bekerja di sektor perkhidmatan perlu atau sektor yang dibenarkan untuk beroperasi semasa tempoh PKP ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak semalam.
Sementara untuk kakitangan kerajaan yang bekerja atas urusan rasmi, tiada surat kebenaran yang perlu ditunjukkan dan hanya perlu menyediakan dokumen pengenalan bekerja, katanya.
Manakala, untuk urusan lain selain daripada urusan pekerjaan, katanya, hanya seorang individu yang dibenarkan berada di dalam sebuah kenderaan.
Untuk perjalanan antara daerah pula, katanya, permit kebenaran daripada balai polis adalah diperlukan.
Dalam perkembangan lain, polis Sarawak telah mengeluarkan kompaun terhadap 222 orang yang ingkar PKP di negeri ini bagi tempoh 8.00 pagi Selasa hingga 8.00 pagi semalam.
Seramai 26 orang juga telah ditangkap bagi tempoh sama atas kesalahan PKP yang dilaksanakan bagi membendung jangkitan Covid-19.
Jumlah kompaun yang dikeluarkan sejak 18 Mac pula membabitkan seramai 733 orang, manakala jumlah tangkapan sejak tarikh sama ialah 633 orang.