KUCHING: Projek menaik taraf jajaran Redline di Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak (Short Stretch) dijangka siap pada awal 2028.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek jajaran sepanjang 17.1 kilometer itu melibatkan kerja menaik taraf struktur turapan jalan di sembilan lokasi yang terletak di Lachau, Selangau, Balingian, Kemena, Sebiew dan Tudan.
“Projek ini inisiatif kerajaan untuk menaik taraf laluan sedia ada yang tidak termasuk dalam pelaksanaan awal Lebuhraya Pan Borneo. Sebelum pelaksanaan projek itu, kira-kira 87 peratus jajaran sedia ada ialah jalan tunggal dua lorong.
“Proses perolehan projek ini lengkap disempurnakan. KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada Syarikat DAL-HCM Sdn Bhd pada 18 Ogos 2026,” menurut kenyataan itu.
KKR berharap seluruh proses dan kerja naik taraf itu akan berjalan lancar mengikut jadual serta kualiti ditetapkan.
“KKR bersama-sama JKR Sarawak akan sentiasa memantau projek ini secara berterusan dan ketat bagi memastikan kontraktor mematuhi standard keselamatan serta garis masa ditetapkan,” menurut kenyataan itu. – Bernama





