KUCHING: Perkembangan kecerdasan buatan (AI) menimbulkan persoalan baharu berkaitan hak cipta dan royalti, terutama bagi karya yang dihasilkan sepenuhnya atau sebahagiannya menggunakan teknologi berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol berkata, pengamal media perlu memahami perkembangan AI yang akan terus menjadi sebahagian daripada kehidupan.
“AI akan tetap ada. Hujan, panas, ribut, taufan, AI akan tetap ada. Jadi, dalam setiap sudut, kita perlu menerimanya dan memahaminya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Media Sarawak 2026 di TEGAS Digital Village, di sini, hari ini.
Abdullah berkata, perkembangan AI turut menimbulkan persoalan berkaitan kandungan, hak cipta dan perundangan yang perlu difahami pengamal media.
Katanya, beliau sendiri menggunakan AI untuk mendapatkan maklumat berkaitan perkara tertentu termasuk harta intelek, undang-undang dan garis panduan.
“Saya ada latar belakang undang-undang, tetapi ada perkara tertentu yang saya perlu dapatkan untuk meletakkan sesuatu perkara dalam perspektif, mengenai harta intelek, apakah undang-undangnya, garis panduan dan mengenai AI, kandungan dan sebagainya,” katanya.

Menurut Abdullah, antara persoalan yang timbul ialah kedudukan hak cipta bagi karya yang dihasilkan dengan bantuan AI atau dijana sepenuhnya oleh teknologi itu.
“Kalau sebuah lagu atau sebuah drama atau sebuah sastera ataupun sebuah montaj video kecil dicipta dengan, katakanlah, 60 peratus AI, adakah ia boleh didaftarkan?
“Kalaulah 100 peratus AI, siapa hak pemilik, kalau royalti, kalau digunakan sekali lagi, siapa yang berhak menerima royalti?” katanya.
Beliau berkata, perkara berkaitan AI dan harta intelek sedang berkembang dan undang-undang juga perlu dilihat selaras dengan perkembangan tersebut.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mengambil penganjuran bengkel berkenaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk membantu pengamal media mengikuti perkembangan semasa.
Katanya, Bengkel Media Sarawak 2026 merupakan kali pertama dianjurkan UKAS dan menjadi kesinambungan kepada Persidangan Media Sarawak.
Bengkel berkenaan turut menghimpunkan pengamal media daripada pelbagai latar belakang, termasuk media arus perdana, unit komunikasi jabatan kerajaan dan pelajar.
Abdullah berkata, bidang media kini turut melibatkan pelbagai peranan seperti juruvideo, jurukamera, penyunting, animator dan pereka grafik sebelum sesuatu berita atau kandungan diterbitkan.
Beliau turut menggalakkan peserta memberikan pandangan dan maklum balas bagi membantu UKAS menambah baik penganjuran program pada masa akan datang.
Oleh Shikin Mahmud





