SERIAN: Anak muda tidak seharusnya hanya berdiri di tepi dan menyaksikan pembangunan berlaku di hadapan mata, sebaliknya mereka perlu diberi ruang untuk tampil, bersuara dan menjadi sebahagian daripada perubahan dalam komuniti.
Atas semangat itulah, Kelab GEN-16 ditubuhkan sebagai wadah yang mahu menghimpunkan tenaga, idea dan potensi generasi muda di kawasan N16 untuk bergerak bersama masyarakat.
Ketua Pemuda N16, Mohd. Azri Johari berkata, idea penubuhan GEN-16 bermula daripada satu persoalan mudah. Apakah yang boleh dilakukan bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada belia dan pemuda di kawasan berkenaan?
Katanya, ramai anak muda mempunyai potensi besar dalam pelbagai bidang termasuk sukan, akademik, perniagaan, seni, budaya dan aktiviti kemasyarakatan, namun sebahagian daripada mereka masih memerlukan ruang untuk mengembangkan potensi.

“Anak-anak muda kita mempunyai begitu banyak potensi. Ada yang aktif dalam sukan, hebat dalam akademik, berniaga, aktif dalam komuniti dan mempunyai kemahiran seni serta budaya.
“Namun, mereka mempunyai satu persamaan, semuanya memerlukan ruang. Ruang untuk berkumpul, bersuara, belajar, beraktiviti dan paling penting, ruang untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program GEN-16 bersama Belia Kampung Tian Mawang, baru-baru ini.
Menurut Azri, GEN-16 diwujudkan sebagai platform terbuka yang tidak mengikat anak muda kepada mana-mana parti politik, sebaliknya mahu menghimpunkan mereka tanpa mengira latar belakang untuk melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada komuniti.

Tegasnya, golongan muda tidak boleh terus dilihat sekadar sebagai peserta atau penonton dalam arus pembangunan kerana mereka juga mempunyai idea, tenaga dan kemampuan untuk mencorakkan masa depan kawasan masing-masing.
“Kita mahu anak muda bukan hanya menjadi penonton kepada pembangunan. Kita mahu mereka menjadi sebahagian daripada pembangunan.
“Pemuda bukan hanya perlu diberikan ceramah. Pemuda perlu diberikan peluang,” katanya.
Nama GEN-16 membawa maksud ‘Generation’, manakala angka 16 merujuk kepada kawasan N16 yang menjadi asas kepada gerakan itu, dengan hala tujunya berteraskan 16 visi dan 16 misi.

GEN-16 memberi penekanan kepada pembentukan generasi muda yang berilmu, berkemahiran, berdisiplin, berdaya saing, berani menceburi keusahawanan, aktif dalam komuniti, menguasai teknologi serta mempunyai semangat kesukarelawanan dan jati diri.
Azri berkata, GEN-16 juga mahu mendekati anak muda melalui aktiviti yang dekat dengan kehidupan mereka termasuk bola sepak, futsal, sukan rakyat, seni dan budaya, keusahawanan, program ilmu serta kerja kemasyarakatan.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan GEN-16 bukan milik mana-mana individu, sebaliknya sebuah wadah bersama yang memerlukan penglibatan semua pihak untuk terus bergerak.
“GEN-16 bukan milik Ketua Pemuda, bukan milik pengerusi dan bukan milik EXCO. GEN-16 adalah wadah bersama.

“Kita mahu GEN-16 menjadi jambatan antara pemuda dengan komuniti, antara generasi muda dengan generasi terdahulu serta antara idea dengan tindakan,” katanya.
Beliau berharap pertemuan bersama Belia Kampung Tian Mawang menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama dan membuka peluang kepada anak muda setempat untuk tampil dengan idea serta menggerakkan aktiviti mereka sendiri.
“GEN-16 datang bukan untuk mengajar kamu bagaimana hendak menjadi pemuda. GEN-16 datang untuk berjalan bersama kamu sebagai pemuda.
“Kita bina program bersama, kita bina jaringan bersama, kita bina komuniti bersama dan kita bina masa depan bersama-sama,” katanya.
Oleh Norman B




