IKMa Zon Sarawak anjur program perkasa kepimpinan koperasi hadapi ketidaktentuan

Facebook
WhatsApp
ROSLAN Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pakcik Lan, seorang pengamal kepimpinan, pakar strategi transformasi dan pemimpin pembangunan digital negara sebagai penceramah.

SIBU: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak akan menganjurkan Program Inspirasi Kepimpinan Koperasi: Mengemudi Ketidaktentuan, Menerajui Masa Hadapan bagi memperkasa kepimpinan koperasi dalam menghadapi cabaran ekonomi, pendigitalan dan perubahan persekitaran perniagaan.

Program yang dijadual berlangsung pada 2 Oktober ini di Hotel Imperial Kuching itu akan menampilkan Roslan Mohamad atau lebih dikenali sebagai ‘Pakcik Lan’, seorang pengamal kepimpinan, pakar strategi transformasi dan pemimpin pembangunan digital negara sebagai penceramah.

IKMa Zon Sarawak dalam kenyataan berkata penganjuran program itu penting susulan perkembangan positif gerakan koperasi di Malaysia yang terus menunjukkan pertumbuhan stabil dan berdaya tahan sepanjang 2025.

Menurutnya, jumlah pendapatan keseluruhan Koperasi Premier dan 100 Koperasi Terbaik meningkat 10 peratus kepada RM12.25 bilion pada 2025 berbanding RM11.13 bilion pada 2024.

“Pertumbuhan itu turut disokong peningkatan saiz aset daripada RM144.66 bilion kepada RM154.74 bilion, selain pertambahan dana anggota daripada RM25 bilion kepada RM28.20 bilion.

“Bagi 100 Koperasi Terbaik pula, pertumbuhan pendapatan yang ketara sebanyak 33 peratus direkodkan dengan nilai pendapatan mencecah RM2.82 bilion,” katanya.

IKMa berkata pencapaian itu sebahagiannya didorong kepimpinan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan pengurusan koperasi yang berkesan dalam mengemudi organisasi masing-masing.

Katanya, kepimpinan koperasi kini berdepan pelbagai cabaran termasuk pendigitalan perniagaan, pengurusan risiko, tekanan ekonomi global serta peralihan kepada ekonomi hijau dan mampan.

“Tekanan antarabangsa terhadap pematuhan piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), mekanisme pelarasan jejak karbon serta permintaan pengguna global terhadap produk mesra alam turut berpotensi mempengaruhi daya saing eksport Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, IKMa berkata kepimpinan koperasi perlu diperkasakan dengan strategi dan pendekatan terkini bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan serta perubahan landskap ekonomi.

Program itu menyasarkan penyertaan antara 150 hingga 200 peserta terdiri daripada anggota lembaga koperasi, anggota dan kakitangan koperasi, usahawan serta masyarakat umum.

IKMa berkata program berkenaan bertujuan memberi pendedahan mengenai kepimpinan profesional dalam pengurusan koperasi, perkongsian pengalaman dan kejayaan sebenar pemimpin serta kepentingan budaya inovasi, pendigitalan dan pengurusan berprestasi tinggi.

Program berkenaan akan dirasmikan Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Onn Abu Bakar.

Sehubungan itu, mereka yang berminat boleh menghubungi Pejabat IKMa Zon Sarawak di talian 082-552408, WhatsApp 012-8887974 atau e-mel sarawak@ikma.edu.my.

Oleh Tarani Lanting