Hab STEM SMK Medamit perluas akses pendidikan STEM luar bandar

Facebook
WhatsApp
SESI bergambar selepas majlis pelancaran Hab STEM SMK Medamit.

LIMBANG: Sarawak Energy dengan kerjasama Lighthouse of Hope Sarawak (LOHS) terus memperkukuh pembangunan pendidikan luar bandar menerusi pelancaran Hab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit.

Inisiatif itu sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan guru untuk mengikuti pembelajaran berasaskan amali serta memperkukuh pendedahan terhadap bidang STEM.

NAIB Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Marconi Madai merasmikan Hab STEM SMK Medamit di Limbang.

Hab tersebut merupakan yang kelima diwujudkan menerusi kerjasama selama dua tahun antara Sarawak Energy dan LOHS bagi memperluaskan akses pendidikan STEM kepada komuniti luar bandar di seluruh Sarawak.

Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Marconi Madai berkata, inisiatif berkenaan membuktikan komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan pendidikan serta melahirkan generasi muda yang berkemahiran dan bersedia menghadapi keperluan masa depan.

Menurut beliau, pendidikan STEM bukan sekadar memberi pengetahuan akademik, malah membentuk keupayaan pelajar menguasai teknologi serta menyelesaikan masalah melalui pengalaman pembelajaran secara praktikal.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat memberi lebih banyak pendedahan kepada pelajar terhadap teknologi moden dan pembelajaran berasaskan amali, di samping membantu guru melaksanakan pengajaran yang lebih interaktif.

“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Sarawak untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan bersedia menghadapi cabaran masa depan, khususnya dalam kalangan belia di kawasan luar bandar,” katanya ketika merasmikan Hab STEM SMK Medamit pada 10 Julai lalu.

MAJLIS menandatangani Nota Kerjasama Komuniti antara SMK Medamit dan Lighthouse of Hope Sarawak. SMK Medamit diwakili Pengetuanya, Linda Liau, manakala Lighthouse of Hope Sarawak diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Lee Chee San.

Beliau berkata, kewujudan hab tersebut merupakan satu perkembangan positif kepada daerah Limbang kerana ia menyediakan ruang kepada pelajar meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi secara lebih mendalam.

Katanya, kemudahan yang disediakan mampu menjadi pencetus kepada lahirnya lebih ramai pencipta, jurutera dan usahawan teknologi yang mampu menghasilkan inovasi untuk manfaat masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LOHS, Dr Lee Chee San berkata, pihaknya menghargai kerjasama erat yang terjalin bersama Sarawak Energy dalam memperluaskan pendidikan STEM di negeri ini.

Menurut beliau, kerjasama antara organisasi korporat dan pertubuhan berasaskan komuniti mampu menghasilkan impak sosial yang berkekalan serta menggalakkan lebih ramai pelajar memilih bidang STEM sebagai laluan pengajian dan kerjaya pada masa hadapan.

Hab STEM itu dilengkapi pelbagai kemudahan pembelajaran termasuk robotik, dron, tenaga solar, pengekodan, pencetak tiga dimensi (3D) dan mesin pemotong laser bagi membolehkan pelajar mempelajari STEM secara lebih praktikal.

Selain penyediaan peralatan, kerjasama berkenaan turut merangkumi Program Duta STEM yang melatih pelajar terpilih membimbing rakan sebaya menggunakan kemudahan hab, sekali gus memupuk keyakinan diri, kemahiran kepimpinan dan minat terhadap STEM.

PELAJAR membentangkan projek masing-masing semasa pameran STEM yang diadakan bersempena pelancaran Hab STEM SMK Medamit.

Guru-guru pula akan mengikuti bengkel khas bagi memperkukuh kemahiran melaksanakan pembelajaran STEM berasaskan projek, manakala pelajar diberi peluang membangunkan projek sendiri menggunakan peralatan yang disediakan bagi meningkatkan kemahiran teknikal dan penyelesaian masalah.

Hab STEM SMK Medamit menyusuli penubuhan hab sama di SMK Long Lama, SMK Lubok Antu, SMK Bakun dan SMK Baleh sejak termeterainya Memorandum Persefahaman antara Sarawak Energy dan LOHS pada 26 Mac 2025.

Majlis pelancaran turut menyaksikan pemeteraian Nota Kerjasama Komuniti antara SMK Medamit yang diwakili Pengetuanya, Linda Liau dan LOHS yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Lee Chee San.

Majlis itu disaksikan Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, Siti Mariam Salleh, Ketua STEM LOHS, Dr Hwa Tee Yong serta Pakar STEM, Eng Guan Huch dan Cheah Swee Hock.

Marconi berkata, menerusi kerjasama tersebut, Sarawak Energy akan terus menyokong usaha kerajaan negeri memperluaskan peluang pendidikan serta melengkapkan generasi muda Sarawak dengan kemahiran yang diperlukan bagi menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa depan.

Turut hadir Pengurus Besar Kelestarian Sarawak Energy, Mohamad Irwan Aman dan Pengurus Kanan Pelaburan Sosial dan Perancangan, Nur Hazwani Sapuan.