Politik berasaskan kaum, agama tidak harus jejas perpaduan Sarawak – Awang Tengah

Facebook
WhatsApp
DISAMBUT MERIAH...Abang Johari diiringi Awang Tengah ke tapak perasmian bangunan Pusat Pentadbiran Sarawak Lawas sambil disambut masyarakat berbagai ethnik.

LAWAS, 18 November: Politik yang memainkan sentimen perkauman dan agama tidak harus dibiarkan menjejaskan perpaduan serta keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perpaduan merupakan aset terbesar negeri ini yang perlu terus dipertahankan daripada pihak yang cuba mengeksploitasi perbezaan kaum dan agama demi kepentingan tertentu.

Menurutnya, kekuatan Sarawak terletak pada kerjasama erat antara masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang menjadi asas kepada kestabilan serta pembangunan negeri.

“Hakikatnya, di Sarawak tiada satu kaum pun yang boleh mengatakan mereka sebagai majoriti. Kita boleh menjadi majoriti kerana kerjasama, setiap kaum bekerjasama antara satu dengan yang lain.

“Walaupun kita berbeza agama, bangsa, keturunan dan bahasa, namun kekuatan yang ada pada kita ialah kita bersatu padu antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas di sini, hari ini.

PERPADUAN…Abang Johari dan Awang Tengah merakam gambar kenangan bersama masyarakat berbagai kaum dan latar belakang yang penuh keharmonian.

Awang Tengah berkata, Sarawak mempunyai kepimpinan yang stabil serta hala tuju pembangunan yang jelas dengan mengambil kira kepentingan semua kaum.

Katanya, kestabilan politik dan kerjasama masyarakat turut menjadi antara kekuatan Sarawak dalam mencapai kemajuan ekonomi di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau turut merujuk pengiktirafan Bank Dunia terhadap Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi sebagai antara pencapaian pembangunan negeri.

“Kita mesti bersatu padu dan memastikan bahawa kerajaan Sarawak, kerajaan yang dipimpin Premier dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), akan terus memerintah,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Tengah turut mengimbas sejarah politik Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) di bawah kepimpinan Tan Sri Datuk Amar Leo Moggie yang suatu ketika dahulu menjadi pembangkang di peringkat negeri, namun merupakan rakan komponen Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, PBDS kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, bagi memohon untuk diterima sebagai rakan komponen BN di Sarawak.

Katanya, usaha memperkukuh kerjasama politik itu diteruskan oleh mendiang Tan Sri James Jemut Masing menerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS), yang akhirnya menjadi sebahagian daripada gabungan BN Sarawak.

Awang Tengah berkata, perkembangan sejarah politik berkenaan membuktikan kepentingan kerjasama antara pelbagai kaum dan kumpulan politik dalam memastikan kestabilan serta kemajuan negeri.

Menurutnya, masyarakat Sarawak tidak boleh bergerak secara berasingan kerana pembangunan negeri memerlukan persefahaman, perpaduan dan kerjasama semua pihak.

Oleh Adeng Edrus