MARUDI, 15 November: Sokongan dan komitmen padu guru serta ibu bapa menjadi antara faktor penting dalam melahirkan pelajar berwibawa dan berketerampilan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telang Usan.
Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Pejabat Daerah Marudi, Reagan Edwin berkata, kerjasama erat antara pihak sekolah dengan ibu bapa perlu terus diperkukuh bagi memastikan kecemerlangan pelajar dapat dikekalkan dan dipertingkatkan.
Menurutnya, kejayaan pelajar bukan sahaja diukur berdasarkan pencapaian akademik, malah turut merangkumi bidang kokurikulum dan pembentukan sahsiah.
Beliau berkata, usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri kukuh, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi memerlukan komitmen berterusan daripada seluruh warga sekolah.
“Tidak ada jalan pintas ke arah mencapai kemajuan melainkan dengan kerja keras. Saya percaya kesungguhan dalam menuntut ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran akan mendorong pelajar untuk menjadi warga sekolah yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Graduasi Tingkatan Lima SMK Telang Usan 2026 di Dewan Sri Perkasa, SMK Telang Usan, Baram, semalam.
Sehubungan itu, beliau menggesa pelajar supaya memanfaatkan peluang pembelajaran di sekolah untuk meneroka potensi diri ke tahap maksimum serta menjadikan proses pembelajaran sebagai pengalaman yang bermakna dan menyeronokkan.
Katanya, kejayaan yang dicapai sekolah itu merupakan hasil sumbangan guru dan pelajar yang berdedikasi, kreatif serta inovatif.
“Semoga kejayaan yang dicapai pada tahun ini akan menjadi pemangkin kepada seluruh warga sekolah untuk meningkatkan pencapaian masing-masing,” ujarnya.
Beliau turut berharap semua guru dan pelajar terus bekerja keras bagi memastikan sekolah berkenaan mampu menempa kejayaan dalam semua bidang.
Pada majlis itu, lapan anugerah khas 2026 disampaikan kepada tujuh pelajar atas pencapaian dan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang.
Alexander Pengiran George menerima Anugerah Putera Sukan, manakala Chloe Yong Kai Sze menerima Anugerah Puteri Sukan.
Jesselin Clinton Huong menerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum, sementara Allyzee Shuling Andrew menerima Anugerah Ikon Inspirasi dan Anugerah Adiwarna.
Annessa Ulau Ngang pula menerima Anugerah Keterampilan, Fifi Lai Yi Fei menerima Anugerah Harapan SPM, manakala Gabriel Rafael Chachill menerima Anugerah NILAM.
Oleh Jiku Juguong




