MANILA: Gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud yang melanda Pulau Luzon di utara Filipina setakat ini telah meragut empat nyawa selain lebih 60 mangsa dilaporkan cedera, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri.
Setiausaha Dalam Negeri, Benjamin Abalos, dalam satu sidang media, berkata dua mangsa dilaporkan maut di wilayah Benguet dan seorang di wilayah Abra selain seorang lagi di satu lagi wilayah.
Gempa bumi kuat berukuran magnitud 7.1 melanda Pulau Luzon di utara Filipina sehingga gegaran turut dirasai di ibu negara Manila, menurut tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Akibat gempa bumi itu, pesakit dan kakitangan sebuah hospital di wilayah Abra dipindahkan selepas sebahagian bangunan itu runtuh, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Datuk Bandar Lagangilang wilayah Abra, Rovelyn Villamor, berkata beberapa kawasan di negara itu masih mengalami gegaran susulan.
Kami menerima laporan kerosakan rumah dan setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kami juga tidak mempunyai bekalan kuasa kerana terputus secara automatik disebabkan bahaya,” katanya.
Pejabat maklumat awam wilayah Abra menyiarkan gambar di halaman Facebooknya yang menunjukkan bangunan rosak teruk dengan retakan besar runtuh.
USGS berkata, pusat gempa adalah pada jarak kira-kira 11 kilometer (km) Timur-Tenggara bandar Dolores dan berlaku pada kedalaman cetek 10 km.
“Tumpuan adalah di Abra dan wilayah berdekatan kerana ini adalah gempa bumi besar dan kami menjangkakan gempa susulan yang kuat,” kata Pengarah Agensi Seismologi Negeri, Renato Solidum.
Seorang ahli kongres di wilayah Ilocos Sur utara, Eric Singson, berkata gempa bumi dirasai dengan kuat.
“Gempa bumi berlaku selama 30 saat atau lebih dan sekarang pihak kami cuba dapatkan orang ramai yang berada di luar rumah kerana masih ada gegaran susulan,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan, berkata sistem kereta api metro di bandar itu dihentikan pada waktu puncak berikutan gegaran masih dirasai.
Bangunan senat di ibu negara turut dipindahkan.
Sementara itu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, mengarahkan penghantaran segera pasukan penyelamat dan bantuan ke wilayah Abra yang dilanda gempa bumi, kata Setiausaha Akhbar, Trixie Cruz-Angeles hari ini.
“Marcos juga akan terbang ke Abra,” katanya dalam sidang media.-AFP