Sarawak perlu bergerak sendiri perkukuh pendidikan

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pendidikan dan Inovasi), Datuk Annuar Rapa’ee pada Program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa Pemerkasaan UP-DLP Sarawak: Memacu Kecemerlangan STEM Dalam Bahasa Inggeris di Wisma Sabati, hari ini.

PETRA JAYA: Sarawak terus memperkukuh sektor pendidikan menerusi pelbagai inisiatif sendiri bagi memastikan peluang pendidikan berkualiti dapat dinikmati anak-anak negeri.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pendidikan dan Inovasi), Datuk Annuar Rapa’ee berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan pendidikan negeri terus bergerak mengikut keperluan semasa.

“Kita tidak dapat menunggu. Kita harus bergerak sendiri dengan cara yang begitu drastik supaya pendidikan kita tidak ketinggalan lagi,” katanya ketika berucap pada Program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa Pemerkasaan Program Dwibahasa (UP-DLP) Sarawak: Memacu Kecemerlangan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Dalam Bahasa Inggeris di Wisma Sabati, di sini, hari ini.

Menurutnya, antara usaha yang dilaksanakan termasuk menangani isu sekolah daif, memperluas penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran serta memperkukuh pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, Program Dwibahasa (DLP) Sarawak kini memasuki tahun ketujuh, manakala Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP) pula memasuki tahun kedua selepas melalui beberapa siri perbincangan berkaitan pelaksanaannya.

DATUK Annuar Rapa’ee pada Program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa Pemerkasaan UP-DLP Sarawak: Memacu Kecemerlangan STEM Dalam Bahasa Inggeris di Wisma Sabati, hari ini.

Beliau berkata, UP-DLP dilaksanakan dengan soalan dwibahasa termasuk Bahasa Melayu, selain memberi peluang kepada murid Tahun Enam mengikuti penilaian selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan.

Annuar berkata, dasar pendidikan Sarawak turut disokong menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (SPTPS) yang menawarkan 64 kursus secara percuma kepada pelajar yang memenuhi syarat ditetapkan.

Katanya, lebih 5,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada skim berkenaan setakat ini dan jumlah itu dijangka meningkat hampir 10,000 pelajar.

Beliau turut menggalakkan pelajar Sarawak mempertimbangkan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Kolej Universiti i-CATS dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) sekiranya bidang yang diminati ditawarkan di institusi berkenaan.

Selain itu, Annuar berkata, kerajaan Sarawak turut menyediakan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSIS), dengan enam sekolah dirancang dibangunkan dan tiga daripadanya kini beroperasi di Kuching dan Sibu.

Katanya, sekolah YSIS seterusnya dirancang di Miri, Betong dan Bintulu, manakala Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP) menyediakan tuisyen percuma kepada pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima bagi membantu mereka membuat persediaan ke peringkat pendidikan tinggi.