Dua maut, beberapa orang cedera, bas terbalik di selatan Jerman

Facebook
WhatsApp
Sebuah bas persiaran terbalik selepas terbabas dari jalan berhampiran bandar Buchloe, selatan Jerman, pada Ahad. Foto AGENSI

BERLIN: Dua maut dan beberapa lagi cedera apabila sebuah bas persiaran terbalik di lebuh raya di selatan Jerman, lapor Anadolu Ajansi memetik media pada Ahad.

Kemalangan berlaku awal pagi Ahad kira-kira 6.00 pagi (0400 GMT) berhampiran bandar Buchloe apabila bas itu terbabas daripada jalan ke kanan dan kemudiannya terbalik, kata jurucakap polis kepada Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Menurut majalah berita Focus, bas itu milik syarikat pelancongan dan membawa 40 hingga 50 warga Filipina.

Pihak berkuasa menganggarkan 25 mangsa mengalami kecederaan ringan. Selain dua kematian, seorang lagi masih dalam keadaan kritikal, lapor media t-online, memetik jurucakap polis.

Ini kemalangan parah kedua melibatkan bas persiaran di Jerman dalam tempoh sebulan.

Pada 6 September, 30 individu cedera dalam kemalangan di lebuh raya berhampiran bandar selatan Woerth.- Bernama-Anadolu