Feri karam: Indonesia lanjut operasi SAR, 71 masih hilang

Facebook
WhatsApp
OPERASI mencari dan menyelamat mangsa feri Virgo Transport 8 diteruskan selepas tempoh SAR dilanjutkan tujuh hari lagi. Foto Fail AFP

JAKARTA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa feri penumpang Virgo Transport 8 dilanjutkan tujuh hari lagi, selepas 11 mayat mangsa ditemukan pada Sabtu, menjadikan jumlah kematian sebanyak 64 manakala 71 masih hilang.

Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia Laksamana Muda Yudhi Bramantyo Nur Sasongko berkata ini adalah lanjutan tujuh hari kedua sejak kapal itu terhempas di Laut Jawa pada 13 September.

“Kami memutuskan untuk melanjutkan tujuh hari lagi, tetapi kami akan menilai setiap tiga hari. Jadi, perkembangan akan dinilai setiap tiga hari,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Trisakti di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Sabtu malam.

Virgo Transport 8, yang membawa 243 penumpang dan 89 kenderaan dari Surabaya di Jawa Timur ke Banjarmasin, terputus hubungan kira-kira 2.00 pagi waktu tempatan pada 13 September dan ditemukan terbalik pada hari itu sebelum beransur karam, dengan bangkai kapal tenggelam sepenuhnya pada 17 September.

Dua minggu selepas operasi, 172 daripada mereka yang berada di dalam kapal telah ditemukan setakat Sabtu, terdiri daripada 108 mangsa terselamat dan 64 maut.

Mengenai penemuan jasad terbaharu, Yudhi berkata empat dibawa naik oleh penyelam dari dalam feri dan tujuh lagi ditemukan di sepanjang kawasan pantai di Kalimantan Tengah.

Dengan pencarian diteruskan, beliau berkata Basarnas akan terus memfokuskan pada usaha mencari mangsa yang hilang.

Beliau berkata proses penyelamatan akan menjadi semakin penting apabila pasukan pencari bawah air telah selesai menjelajah seluruh kawasan bangkai kapal yang boleh diakses dengan selamat dan tiada lagi mangsa dapat ditemukan menerusi operasi menyelam.- Bernama

PBB Daro siap siaga hadapi PRN

DARO: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.43 Daro kini bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka