LAWAS: Masalah gangguan bekalan air di Lawas sejak 11 Januari yang berlarutan hingga 14 Januari menyaksikan laman Facebook Rakan JBALB (Jabatan Bekalan Air Luar Bandar) menjadi sasaran orang awam.
Mereka kecewa apabila tidak ada sebarang maklum balas dari pihak JBALB Bahagian Limbang berhubung perkembangan terkini status kerja baik pulih saluran paip di loji Trusan.
Orang ramai khususnya di kawasan berpendudukan tinggi seperti di Banting mula hilang sabar apabila bekalan air terganggu sejak 11 Januari lalu terus bersambung ke hari Jumaat dan Sabtu yang membawa kepada empat hari berturut-turut gangguan air di Lawas.
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong yang ditemui selepas sambutan perayaan Hari Natal & Tahun Baharu Cina anjuran Pejabat Daerah Lawas turut melahirkan rasa kecewa dengan perkara itu.
“Saya berharap pihak berkenaan lebih bertanggungjawab dalam memberi respon kepada pertanyaan awam.
“Harap pihak JBALB Lawas meningkatkan usaha dan komitmen dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih di Lawas yang sekian lama berhadapan masalah.
“Kita telah bersama Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan sejak beberapa tahun lepas meminta JBALB Lawas ini meningkatkan usaha.
“Kita faham situasi yang dihadapi kerana permintaan tinggi berbanding dengan kapasiti bekalan sedia ada dan ini merisaukan ketika kita berdepan dengan musim kemarau tahun ini,” katanya.
Beliau berharap isu gangguan bekalan air ini dapat diatasi segera sebelum menjelangnya musim perayaan dan ketibaan Ramadan kelak.
Oleh ADENG EDRUS