SIMUNJAN: Penganjuran Festival Warisan Seni Budaya (FWSB) Simunjan 2024 menyediakan platform kepada masyarakat untuk lebih mengenali warisan dan budaya unik yang terdapat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Idris berkata program itu juga memberi manfaat besar kepada generasi muda sekali gus menarik minat mereka untuk mempertahankan warisan turun temurun.
”Program seperti ini memberi makna besar kepada warisan seni budaya tradisional yang hampir pupus ekoran peredaran zaman dan penganjuran FWSB Simunjan 2024 ini menjadi salah satu cara untuk menghidupkannya kembali.
”Setiap bangsa mempunyai budaya dan warisan yang tidak ternilai harganya dan kita bertanggungjawab untuk memastikan ia tidak pupus agar anak cucu kita di masa hadapan dapat mengenali dan menghargainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian FWSB Simunjan 2024 di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, katanya, festival itu juga menyediakan ruang dan peluang kepada peniaga kecil serta usahawan untuk meningkatkan pendapatan dan bersaing secara sihat.
”Kita berharap dengan program seumpama ini ia dapat menyumbang dan menyokong usaha kerajaan Sarawak dalam merealisasikan hasrat dan sasaran untuk menjadi negeri maju menjelang 2030,” tambahnya.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee: isteri Awla, Napsiah Abang Kaderi; Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Rafhan Kepli; Pengerusi Persatuan Kebajikan Sahabat Pembina Insan Sarawak, Sitia Saini dan Timbalan Persatuan Kebajikan Sahabat Pembina Insan Sarawak, Mohammad Redzuan Latip Usop.
Gambar
WARNA-WARNI… Antara persembahan semasa Festival Warisan Seni Budaya Simunjan 2024. Foto UKAS