MIRI: Setiap kali hujan lebat terutama pada waktu malam, kira-kira 40 keluarga di Kampung Luak terpaksa berdepan kebimbangan apabila rumah mereka berisiko dinaiki air.
Masalah banjir yang berlarutan lebih 10 tahun itu bukan sahaja menjejaskan harta benda penduduk, malah menimbulkan risiko keselamatan, khususnya kepada warga emas dan penduduk yang mempunyai masalah pergerakan.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri, Chaw Zhe Jian berkata, beliau turun ke lokasi hari ini selepas menerima makluman daripada penduduk berhubung kejadian banjir kilat yang berlaku.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi, air sudah mula surut namun gambar yang diterima sebelum itu menunjukkan paras air hampir menenggelami bahagian hadapan kenderaan penduduk.

“Penduduk terpaksa mengalihkan kenderaan keluar dari rumah dan meletakkannya di tepi jalan bagi mengelakkan kenderaan mereka ditenggelami air.
“Lebih membimbangkan, terdapat warga emas yang mempunyai masalah pergerakan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku dengan cepat dan surut dalam tempoh singkat tetap berisiko menyebabkan kerosakan kepada perabot, peralatan elektrik serta harta benda penduduk.
Katanya, masalah yang berlarutan lebih sedekad itu tidak seharusnya dibiarkan berterusan tanpa penyelesaian jangka panjang.
“Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.219 Miri akan berhubung dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi meneliti keadaan sistem perparitan, aliran air serta isu berkaitan.
“Usaha ini penting bagi mencari penyelesaian jangka panjang yang berkesan untuk mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling




