KUCHING: Empat rumah dua tingkat di Lorong 10, Kampung Tabuan Dayak, musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, sepasukan anggota Dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya diketuai Komander Operasi PBK II Pandi Sih telah digerakkan ke lokasi kejadian susulan panggilan diterima pada 9.01 malam.
Operasi pemadaman turut dibantu oleh sepasukan anggota dari BBP Batu Lintang yang diketuai PBK II Abdul Hakim Supian.
Pasukan bomba dari BBP Tabuan Jaya menjalankan pemadaman dari bahagian hadapan, sementara anggota dari BBP Batu Lintang bertindak memadam api dari bahagian belakang.
Operasi pemadaman menggunakan sumber air dari pili bomba berdekatan, dengan bantuan pihak Sarawak Energy yang bertindak memutuskan bekalan elektrik bagi mengelakkan risiko renjatan serta pihak Lembaga Air Kuching (LAK) yang meningkatkan tekanan air di lokasi kejadian.
Operasi melibatkan seramai 21 anggota bomba bersama dua jentera Scania, satu unit EMRS dan sebuah Hilux akhirnya berjaya dikawal sepenuhnya dan ditamatkan pada 11.27 malam.
Menurut laporan JBPM, kebakaran tersebut melibatkan empat buah rumah, masing-masing terdiri daripada dua rumah jenis tidak kekal berukuran 20’ x 30’ serta dua rumah jenis separuh kekal berukuran 24’ x 50’ dan 20’ x 40’.
“Kesemua rumah terbabit musnah sepenuhnya. Rumah pertama didiami oleh 10 penyewa yang terdiri daripada tiga keluarga, manakala rumah kedua menempatkan lapan penyewa dari dua keluarga.
“Rumah ketiga dihuni dua penyewa yang merupakan satu keluarga, dan rumah keempat turut menempatkan dua penyewa dari satu keluarga.
“Seramai 18 orang dewasa dan empat kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran ini telah ditempatkan di All Saint’s Church, Jalan Tabuan Jaya sebagai penempatan sementara.
“Difahamkan, kesemua mangsa yang terlibat adalah penyewa rumah-rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, malam tadi.
Turut hadir di lokasi kejadian, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, bagi meninjau situasi serta memberikan sokongan kepada mangsa yang terlibat.
Operasi pemadaman mendapat bantuan daripada beberapa agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengerahkan empat anggota bagi kawalan keselamatan, Sarawak Energy, LAK, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang turut menghantar empat anggota ke lokasi.
Kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa.
Jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Oleh Masrin Affirah