Dua kedai serbaneka 24 jam disasar dalam kes khianat dengan api

Facebook
WhatsApp
KEADAAN salah sebuah kedai serbaneka 24 jam yang mengalami kebakaran selepas dipercayai menjadi sasaran khianat dengan api.

KUCHING: Dua kedai serbaneka 24 jam menjadi sasaran dalam dua kejadian khianat dengan api yang berlaku berasingan dalam tempoh kira-kira satu jam 25 minit, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata kedua-dua kejadian berlaku antara 7.05 malam hingga 8.30 malam, masing-masing di kawasan King Centre dan Jalan Green Road.

Beliau berkata kejadian pertama di King Centre melibatkan penggunaan mercun dan tidak menyebabkan sebarang kerugian, manakala kejadian kedua di Jalan Green Road melibatkan dua lelaki yang dipercayai datang ke premis berkenaan sebelum membaling objek ke dalam kedai.

KESAN kebakaran susulan kejadian khianat dengan api di sebuah kedai serbaneka di Kuching.

“Perbuatan itu menyebabkan dua letupan dan kebakaran sebelum api berjaya dipadamkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata polis kini giat mengesan dan mengenal pasti kedua-dua suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

KEJADIAN kebakaran yang berlaku telah menyebabkan kerugian kepada pihak pemilik termasuk kerosakan terhadap harta benda dan aset yang terlibat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Tan Chiang Fook di talian 018-262 8805 atau Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244 444.

Beliau berkata kerjasama masyarakat amat dihargai bagi membantu siasatan polis serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Daerah Kuching terus terpelihara.

Oleh Connie Chieng