Meneliti Elemen Yang Memperkukuh Puisi

Facebook
WhatsApp

PUISI merupakan karya sastera yang mengungkapkan pemikiran, perasaan, pengalaman dan pandangan hidup manusia melalui penggunaan bahasa yang indah, padat, terpilih dan tersusun.

Menurut William Wordsworth, puisi merupakan luahan perasaan yang kuat, manakala Samuel Taylor Coleridge menekankan penggunaan kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik.

Seiring dengan pandangan tersebut, I. A. Richards dan T. S. Eliot pula melihat puisi sebagai gabungan pemikiran, emosi dan pengalaman yang diolah secara artistik. Dalam konteks kesusasteraan Melayu, Muhammad Haji Salleh dan Harun Mat Piah menekankan aspek estetika, bentuk, bahasa, simbol, imejan dan makna dalam puisi.

Secara ringkasnya, puisi dapat dirumuskan sebagai seni bahasa yang memadatkan pemikiran dan perasaan melalui bahasa yang estetik, simbolik dan berlapis makna bagi membangkitkan kesan intelektual serta emosional kepada pembaca.

Justeru, penghasilan puisi yang baik diperkukuh oleh beberapa elemen penting. Dalam ruangan kali ini, ada baiknya kita meneliti beberapa elemen yang dapat memperkukuh puisi-puisi terpilih yang menghiasi laman perbincangan ini.

Penelitian tersebut diharapkan dapat membantu memperkemas binaan puisi dari segi pemikiran, bahasa dan pengolahan. Tahniah atas usaha dan keberanian tiga orang penulis puisi yang karyanya telah disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lalu.

Kalian telah merintis jalan untuk menjadi sebahagian daripada penyusun kata yang mengutamakan pemikiran, mesej dan estetika dalam penghasilan puisi.

Puisi “Lukisan Kemarau” karya Wan Roslina Wan Yusof menarik kerana “kemarau” tidak hanya digambarkan sebagai fenomena alam, tetapi berkembang menjadi metafora terhadap kemusnahan alam akibat pembangunan manusia. Pada bahagian akhir, “kemarau” berubah daripada gambaran alam kepada suatu bentuk “balasan” terhadap tindakan manusia.

Puisi ini memiliki kekuatan tersendiri. Tema yang dipilih oleh Roslina terlihat jelas dan mempunyai nilai kemasyarakatan yang kuat. Tema kemusnahan alam yang ingin disampaikan berjaya diserlahkan melalui gambaran yang konkrit. Kata “kemarau” menjadi simbol akibat pembangunan yang mengorbankan alam.

Mari kita perhatikan baris “demi sebuah pembangunan / maka, lukisan ini balasan” yang mempunyai potensi sebagai klimaks pemikiran puisi. Ketika membaca puisi ini, kita dapat merasakan seolah-olah alam mempunyai bahasa tersendiri untuk membalas tindakan manusia.

Puisi ini juga memaparkan kekuatan citra alam. Roslina dapat membina visual yang mudah dibayangkan seperti “tanah retak”, “debu”, “angin”, “lopak”, “lalang kering”, “awan hitam”, “hujan” dan “hutan”. Contohnya, baris “dari jauh seperti bersisik” memberikan unsur visual yang tidak klise kepada tanah yang merekah.

Selain itu, Roslina menyaring personifikasi yang dipilih untuk menghiasi puisi ini agar memberikan kesan tersendiri kepada pembaca. Perhatikan “debu saling merintih” yang dapat disifatkan sebagai pilihan yang baik.

“Debu” diberi sifat manusia untuk menghasilkan kesan emosional dan boleh dikembangkan lagi kerana alam dalam puisi ini sebenarnya boleh diperlakukan sebagai watak, bukan sekadar latar.

Bagi memperkukuh pasak puisi ini, beberapa aspek penambahbaikan boleh diperkemas. Antaranya termasuk mengurangkan baris yang bersifat pemberitahuan langsung. Contohnya, baris “demi sebuah pembangunan” dan “maka, lukisan ini balasan”. Mesejnya kuat, namun sifatnya agak langsung.

Puisi akan menjadi lebih puitis sekiranya pembaca menemui sendiri makna tersebut dan bukan diberitahu secara langsung. Maka, lebih baik kiranya penyajak cuba memperlihatkan berbanding menulis pernyataan terus. Misalnya, kemusnahan akibat pembangunan boleh ditunjukkan melalui bunyi mesin, pokok tumbang, tanah yang terkelupas atau sungai yang kehilangan air sebelum penyair menyimpulkan maknanya.

Puisi ini juga boleh dibawa kepada gagasan, iaitu alam sebagai kanvas yang merekodkan dosa pembangunan manusia. Ini akan menjadikan mesej tentang alam sekitar lebih mendalam daripada sekadar seruan supaya menjaga alam.

Kita beralih kepada puisi “Malam” karya Nysfeeqa. Puisi ini bergerak daripada insomnia kepada perjalanan spiritual. Malam menjadi ruang konflik antara tubuh yang tidak mampu tidur dengan jiwa yang sedang mencari Tuhan.

Daripada  kalimat “qiam”, “kalam”, “sirah qalbun dan qalbi”, “murabbi”, “muallim hati” sehingga “Tuhan”, puisi berkembang menjadi renungan kerohanian. Antara kekuatan puisi ini termasuk tema kerohanian yang kuat. Puisi ini sebenarnya bukan tentang malam semata-mata.

Malah “malam” menjadi ruang pencarian diri. Cuba perhatikan baris: “dari qiam ke kalam” yang mempunyai potensi besar kerana hanya dengan dua patah kata, penyair membina perjalanan daripada ibadah kepada kata-kata yang dapat dijadikan renungan.

“Malam” juga menampilkan beberapa kontras atau pertentangan yang dapat disifatkan menarik. Misalnya, “malam / pagi”, “lena / gelisah”, “gelap / mentari”, “jatuh / terbang” dan “akal / hati”.

Jika meneliti lebih mendalam tentang pertentangan ini, tidak keterlaluan jika kita katakan kontras ini boleh menjadi tulang belakang puitika puisi. Nysfeeqa turut menghadirkan daya simbolik dalam penutup puisi ini:

“Tuhan,

Tanpa sayap,

Aku ingin terbang.”

Pada pengamatan saya, ini merupakan antara bahagian yang paling puitis dalam puisi “Malam”. “Terbang” boleh dibaca sebagai metafora untuk pembebasan jiwa atau perjalanan mengakrabi Tuhan yang Maha Pencipta. Barisnya ringkas tapi padat dengan makna.

Dari aspek pengukuhan puisi “Malam”, Nysfeeqa wajar memberikan perhatian terhadap pemilihan dan kesinambungan imej serta penggunaan diksi pinjaman bahasa Arab agar keseluruhan puisi lebih padu dari segi makna dan estetikanya.

Beberapa imej yang dikemukakan seperti “Seakan hangus dibakar”, “Mentari semakin mendiri”, “Terasa jagat menguisku” dan “Jatuh ke jurang dalam” memperlihatkan daya imaginasi yang menarik.

Namun begitu, hubungan organik antara satu imej dengan imej yang lain masih dapat diperkukuh. Kepelbagaian imej akan menjadi lebih berkesan sekiranya penyair terlebih dahulu mengenal pasti imej teras yang menjadi pusat pengucapan puisi.

Dalam hal ini, malam misalnya dapat dibina sebagai imej dominan yang melambangkan perjalanan jiwa, manakala imej-imej lain berfungsi sebagai peluasan, pengukuhan atau pantulan kepada pengalaman batin tersebut.

Dengan pendekatan demikian, setiap imej tidak hadir secara terpisah, sebaliknya saling berhubungan dalam membentuk satu jaringan makna yang lebih utuh.

Pemilihan diksi pinjaman bahasa Arab juga perlu dipertimbangkan dari segi ketepatan konteks, nuansa makna dan keserasian bunyinya supaya penggunaannya tidak sekadar memberikan kesan puitis, tetapi benar-benar memperkayakan lapisan makna puisi.

Selain itu, istilah Arab perlu digunakan secara lebih terkawal. “Sirah qalbun dan qalbi”, “murabbi”, “muallim hati” memberikan warna Islamik dan intelektual kepada puisi.

Namun, terlalu banyak istilah konseptual boleh menyebabkan puisi terasa seperti wacana kerohanian dan bukan pengalaman puitis. Sebagai pembaca, pada hemat saya, lebih baik istilah tersebut disokong oleh citra konkrit. Contohnya, daripada memberitahu bahawa hati sedang berhijrah, tunjukkan hati itu melalui imej seperti “jalan, pintu, cahaya, sujud, embun, fajar atau perjalanan”.

Selain itu, penggunaan terlalu banyak istilah asing khususnya bahasa Arab yang jarang didengar sedikit sebanyak mengganggu penghayatan kerana ketidakjelasan makna sebenar.

Bagi tujuan pemurnian, ada beberapa cadangan yang diharap dapat membantu memperkukuh penulisan puisi pada masa akan datang. Pengembangan puisi “Malam” boleh dibuat dengan menghadirkannya sebagai “malam bukan waktu tidur tetapi waktu jiwa terjaga”.

Pengembangan ini dapat menguatkan gagasan puitika. Mengapa? Kerana dengan gagasan tersebut, “malam” boleh sahaja menjadi perlambangan “gelap” yang membawa konotasi sunyi, gelisah dan pencarian manakala cahaya pula menjadi perlambangan kesedaran yang membawa manusia semakin hampir dengan Tuhan.

Pertentangan antara gelap dan cahaya ini sebenarnya boleh dikembangkan lagi sebagai perjalanan batin penyait daripada kegelisahan menuju kesedaran dan ketenangan. Hal ini akan mewujudkan lengkung emosi dan spiritual yang lebih jelas serta menjadikan keseluruhan puisi lebih padu dari segi gagasan, imej dan penghayatan.

Seterusnya, kita menyelami puisi ketiga, “Bukan Lumpur Penyesalan” karya Guang anak Amba. Puisi ini memperlihatkan sifat naratif dan nilai reflektif yang lebih ketara apabila pembaca dibawa mengikuti suatu perjalanan batin, daripada godaan dan kejatuhan kepada kesedaran, keimanan, kesabaran dan akhirnya kembali mendekati Tuhan.

Kekuatan utama puisi ini terletak pada gagasan moralnya yang jelas, iaitu manusia mungkin tersilap dan terjatuh, tetapi kejatuhan tidak semestinya menjadi titik akhir kehidupan.

Gagasan tersebut disampaikan dengan bahasa yang relatif mudah dan dekat dengan pengalaman manusia, sekali gus membolehkan mesej puisi diterima secara langsung oleh pembaca.

Pemilihan tajuk “Bukan Lumpur Penyesalan” juga menarik untuk diberikan perhatian kerana mengandungi kekuatan simbolik yang besar. Metafora “lumpur penyesalan” dapat ditafsirkan sebagai lambang dosa, rasa bersalah, kegagalan, masa lalu atau keadaan jiwa yang seolah-olah memerangkap seseorang dalam penyesalan

Sebaliknya, gagasan tentang “bangkit” menghadirkan gerak yang berlawanan, iaitu usaha membebaskan diri daripada keterperangkapan tersebut dan memilih untuk kembali kepada jalan yang lebih baik.

Pertentangan antara “lumpur” yang bersifat berat, melekit dan memerangkap dengan tindakan “bangkit” yang membawa makna gerak ke atas dan pembebasan menghasilkan suatu dinamika simbolik yang menarik.

Di sinilah kekuatan puisi ini boleh terus diperkembangkan: bukan sekadar menyampaikan nasihat tentang penyesalan, tetapi menjadikan penyesalan itu sebagai pengalaman batin yang benar-benar dapat dirasai, direnungi dan akhirnya ditransformasikan menjadi kesedaran. Menarik, bukan?

Puisi ini turut memperlihatkan perkembangan emosi yang jelas dan berperingkat apabila penyajak bergerak daripada harapan kepada hinaan, kejayaan, godaan, dosa, penyesalan, iman, ujian, kesabaran dan Tuhan.

Susunan emosi ini membentuk suatu perjalanan batin yang dinamik dan memberikan puisi sifat naratif yang tersendiri. Pembaca bukan sahaja mengikuti peristiwa yang dialami oleh penyajak, malah turut dibawa menyelusuri perubahan kesedaran dan pergolakan jiwanya sehingga mencapai suatu titik keinsafan dan penyerahan kepada Tuhan.

Trajektori spiritual ini merupakan antara kekuatan puisi kerana perkembangan emosinya memperlihatkan bahawa pengalaman jatuh, gagal dan diuji dapat menjadi sebahagian daripada proses pembentukan jiwa.

Untuk mengukuhkan lagi kesan tersebut, setiap peralihan emosi boleh diperkemas agar berlaku secara lebih beransur-ansur dan mempunyai hubungan sebab-akibat yang lebih jelas. Dengan demikian, perubahan daripada satu keadaan emosi kepada keadaan yang berikutnya tidak sekadar menjadi urutan cerita, tetapi berkembang sebagai proses transformasi jiwa yang semakin mendalam dan meyakinkan pembaca.

Bagi memperkukuh puisi ini, beberapa aspek boleh diperbaiki. Antaranya termasuklah rima “-an” yang terlalu dominan. Contohnya, harapan / hinaan / kejayaan / pengalaman / godaan / semalaman / penyesalan / iman / harapan / ujian / destinasi / kesabaran / jalan. Tidaklah dapat kita nafikan bahawa pengulangan bunyi ini memberikan muzik.

Namun, apabila terlalu berlebihan, keadaan ini boleh menyebabkan puisi terasa seperti syair berima atau sajak didaktik, bukannya puisi moden yang bebas. Penyajak boleh mengekalkan beberapa rima sebagai “muzik” dalaman, tetapi boleh memecahkan pola tersebut pada baris-baris penting.

Membaca tajuk puisi “Bukan Lumpur Penyesalan” secara sepintas lalu membentuk pemahaman tentang hala tuju puisi ini, iaitu tentang sesuatu yang berkaitan dengan khilaf, silap atau dosa.

Namun, setelah membaca baris demi baris, terdetik di hati kita bahawa puisi ini mengandungi mesej yang terlalu cenderung untuk memberitahu pembaca. Contohnya, “tetap aku belajar erti kesabaran” dan “jalan gelap itu juga adalah jalan / yang mengiring aku kembali kepada Tuhan.”

Sudah tentu mesej ini jelas dan merupakan mesej yang baik, malah amat baik, tetapi pembaca sudah diberikan kesimpulan. Pemberitahuan secara langsung ini mengehadkan ruang dan peluang pembaca untuk meneroka sempadan makna yang dihadirkan penulis dalam puisi ini.

Puisi akan lebih kuat jika penyajak memperlihatkan perjalanan menuju kesedaran melalui simbol dan pengalaman.

Selain itu, bagi memperkukuh binaan puisi ini, pemilihan citra secara tekal boleh diberikan perhatian. “Bukan Lumpur Penyesalan” menghadirkan lengkungan citra dan metafora seperti tepian / tebing / mengendong / merangkak / gugur / lumpur / bangkit / menggenggam / mengait / luka / permata / destinasi / jalan. Kesemua kata ini menarik, namun datang daripada terlalu banyak medan imejan. Kesannya, gambaran yang ada dalam minda pembaca “berselirat” dan “kurang harmoni”.

Justeru, penyajak boleh berusaha memilih satu metafora utama dengan mempertimbangkan pemilihan citra perjalanan atau jalan mahu pun lumpur–bangkit.

Jika “lumpur” menjadi metafora induk, seluruh puisi boleh dibina daripada dunia, persekitaran atau citra yang relevan dengan lumpur seperti hujan, jejak, kaki, tanah, basuhan, cahaya dan jalan. Pendekatan ini membawa kepada kesatuan imej yang lebih “harmoni” dalam fakulti fikir pembaca dan memudahkan proses penghadaman makna.

Bagi tujuan pengukuhan puitika dalam puisi, beberapa saranan boleh dijadikan renungan dan asas penambahbaikan oleh para penyajak. Prinsip pemurnian berikut boleh diperhatikan.

Pertama, daripada “memberitahu” kepada “memperlihatkan”. Misalnya, jika penyajak ingin menyatakan rasa sedih, bandingkan mana yang lebih puitis antara pernyataan “aku sedih” dengan baris-baris puisi yang membiarkan pembaca melihat kesedihan melalui imej, gerak, bunyi, suasana dan tindakan?

Kedua, pemilihan satu metafora induk. Puisi yang kuat biasanya mempunyai satu dunia simbolik yang mengikat keseluruhan teks. Contohnya, puisi “Lukisan Kemarau” yang dikaitkan secara langsung dengan “kanvas, warna, garis, debu, matahari dan hujan”.

Seterusnya, puisi “Malam” pula dikaitkan dengan “gelap, sunyi, tidur, terjaga, cahaya, fajar, terbang”, dan puisi “Bukan Lumpur Penyesalan” pula dengan “lumpur, kaki, jejak, jatuh, bangkit, basuh, jalan dan Tuhan”. Pemilihan citra yang bersifat serumpun ini akan membantu menjadikan puisi lebih kohesif secara stilistika.

Ketiga, pengurangan kata abstrak dalam puisi. Kata seperti “harapan, kesabaran, iman, kejayaan, penyesalan, pengalaman” boleh digunakan, tetapi jangan terlalu banyak. Puisi menjadi lebih kuat apabila konsep abstrak itu diterjemahkan kepada benda yang boleh dilihat, disentuh, didengar atau dibayangkan.

Keempat, berikan ruang yang lebih luas kepada pembaca untuk meneroka kepelbagaian horizon makna dan membina tafsiran berdasarkan pengalaman serta penghayatan masing-masing.

Puisi tidak semestinya perlu menjelaskan sesuatu gagasan secara tuntas sehingga seluruh maksudnya dapat ditangkap dengan mudah. Sebaliknya, sedikit ruang ambiguiti, keheningan dan makna tersirat dapat memberikan peluang kepada pembaca untuk berhenti, merenung dan menemukan makna yang mungkin berbeza daripada pembacaan pertama.

Puisi yang kuat bukan semata-mata membuat pembaca berkata, “Saya faham maksud penyair,” tetapi mampu mencetuskan perasaan, bayangan atau renungan yang sukar diterjemahkan sepenuhnya dengan kata-kata. Pada ruang antara apa yang dikatakan dengan apa yang dibiarkan tersirat itulah letaknya sebahagian daripada kekuatan puitika sesebuah puisi.

Kelima, bina baris puncak atau klimaks kepada puisi tersebut. Setiap puisi sebaik-baiknya mempunyai satu atau dua baris yang menjadi teras ingatan pembaca.

Berdasarkan penelitian terhadap ketiga-tiga puisi ini, baris yang mempunyai potensi sebagai baris puncak tersebut ialah “maka, lukisan ini balasan.” dalam puisi “Lukisan Kemarau”, baris “Tanpa sayap, / Aku ingin terbang.” dalam puisi bertajuk “Malam” serta baris “luka timbus jadi permata ujian” dalam “Bukan Lumpur Penyesalan”.

Pada hemat saya, baris-baris ini boleh dipertajam lagi supaya menjadi signature line bagi puisi masing-masing.

Kini tibalah kita ke intiha kalam di laman diskusi tentang tiga puisi ini. Secara keseluruhannya, ketiga-tiga puisi mempunyai tema yang wajar kerana tema yang dipilih dapat memberikan makna kepada minda, emosi dan kehidupan pembaca.

Namun, aspek yang lebih diperlukan ialah pemurnian cara tema itu diucapkan. Dari sisi yang lain, dapat dirumuskan beberapa anjakan atau perubahan penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan.

“Lukisan Kemarau” perlu bergerak daripada gambaran kemarau kepada metafora alam yang lebih tebal dan mempunyai suara, kritikan serta ingatan terhadap perbuatan manusia.

Puisi “Malam” pula perlu bergerak daripada catatan kegelisahan dan istilah kerohanian kepada pengalaman perjalanan jiwa daripada serkupan gelap menuju Tuhan, manakala “Bukan Lumpur Penyesalan” perlu bergerak daripada nasihat tentang keinsafan kepada pengalaman seorang manusia yang benar-benar jatuh, bergelut dan menemukan jalan pulang ke pangkuan kasih sayang Tuhan.

Saranan penambahbaikan ke arah memperkukuh binaan tiga puisi pilihan ilham Wan Roslina, Nysfeeqa dan Guang pada kali ini diharap dapat membantu meningkatkan nilai puitika dalam puisi.

Hakikatnya, saranan pemurnian yang dikongsikan di laman bimbingan ini bukan semata-mata bertujuan menjadikan bahasa lebih berbunga, tetapi menjadikannya lebih tepat, simbolik dan lebih meninggalkan gema kepada pembaca. Dengan kata lain, puisi yang dihasilkan akan menjadi lebih kukuh.

Oleh Dayang Azizah Mohd Salleh

Sajak

Lukisan Kemarau lukisan kemarau pada tanah ada retak-retak kecil dari jauh seperti bersisik debu saling merintih ditiup angin dipaksa beralih

Pemilihan Kata yang Menjadi dalam Sajak

APABILA memperkatakan sajak, fokus utamanya tentu sahaja tentang pemilihan kata. Walaupun tema menjadi asas pemikiran sesebuah sajak dilahirkan, pemilihan kata