SIBU: Sebuah unit penghawa dingin terbakar sepenuhnya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Gambir, di sini, tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 12.08 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerahkan ke lokasi.
“Kebakaran hanya melibatkan sebuah unit penghawa dingin dan tidak menyebabkan sebarang kerosakan pada struktur rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh penghuni rumah sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi punca api atau bara yang berpotensi menyebabkan kebakaran semula,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
Oleh Tarani Lanting





